Berita

Lain yang disoal tentang pelaburan ‘unit’ 1MDB, lain pula yang dijawab

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua naik hairan dengan jawapan lisan yang diberikan Menteri Kewangan kepada soalan berkaitan jumlah pelaburan dalam bentuk ‘unit’ milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Limited (Ltd).

Soalan lisan yang pernah ditolak dalam sidang Dewan Rakyat pada Julai itu turut mempertanyakan mengenai nama institusi bank atau kewangan yang menjadi ‘penjaga’ (custodian) kepada pelaburan tersebut.

Menteri Kewangan tidak menjawab secara terus soalan terbabit sebaliknya memberikan perincian mengenai pelan rasionalisasi 1MDB yang menurutnya tidak berkaitan langsung dengan soalan yang diajukan beliau.

“Menteri berkenaan boleh jawab soalan saya dengan menggunakan kurang daripada 10 perkataan. Hanya nyatakan nilai unit dan nama bank tersebut.

“Adakah Menteri Kewangan begitu bebal sehingga tidak faham bahasa Inggeris dan Melayu yang mudah?

“Atau dia hanya pura-pura bodoh untuk tidak menjawab soalan daripada seorang Ahli Parlimen. Apa-apa pun, Menteri Kewangan telah menghina dewan yang mulia dengan tindakannya itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kegagalan Menteri Kewangan menjawab soalan berkenaan mengesahkan desas-desus bahawa pelaburan ‘unit’ itu sebenarnya tidak mempunyai sebarang nilai dan hanyalah suatu bentuk penipuan.

“Rakyat Malaysia berhak tahu mengenai status AS$940 juta pelaburan dalam bentuk ‘unit’ yang kononnya dimiliki Brazen Sky Ltd itu,” ujarnya yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

1MDB sebelum ini mendakwa bahawa mereka mempunyai pelaburan dalam bentuk ‘unit’ berjumlah AS$2.3 bilion yang disimpan dalam sebuah bank dengan sebahagian daripada jumlah tersebut telah ditebus dan digunakan.

Syarikat itu pada April tahun ini dilaporkan akan menggunakan sebahagian ‘unit’ tersebut bagi membayar hutangnya yang berjumlah AS$1.2 bilion kepada sebuah syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

BSI Singapura adalah bank yang bertanggungjawab menjadi ‘penjaga’ kepada pelaburan ‘unit’ tersebut sebelum lesennya ditarik ekoran melanggar peraturan secara serius dalam hubungan perniagaan dan pengurusan dengan 1MDB.

Ia sekaligus membangkitkan persoalan mengenai bank atau institusi kewangan manakah yang menjadi ‘penjaga’ baru kepada pelaburan terbabit. – Roketkini.com