Berita

Belanjawan Marhaen utamakan ibu tunggal, pelajar, petani dan nelayan

GEORGE TOWN, 2 NOV: Belanjawan Marhaen Puau Pinang yang dibentangkan hari ini memberi penekanan terhadap kebajikan semua golongan masyarakat.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, ia adalah lanjutan usaha murni kerajaan Pakatan memberi penekanan dan meluaskan jaringan kebajikan kepada semua kumpulan masyarakat.

Antara kumpulan masyarakat yang dititikberatkan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang ialah ibu tunggal; ibu yang tidak bekerja; pelajar universiti; murid sekolah rendah dan menengah; dan kini pelajar sekolah vokasional.

Ini termasuk golongan petani dan nelayan negeri itu.

Menurut beliau, Pulau Pinang mempunyai rekod unik meskipun akan mempunyai anggaran defisit sebanyak RM748.5 juta berbanding defisit RM667 juta dalam belanjawan tahun 2017 kerana tetap akan menghasilkan lebihan pendapatan setiap tahun.

“Melalui penjimatan menerusi sistem tender terbuka dan pentabiran CAT yang efisien berpaksikan prinsip cekap, akauntabel dan telus,” katanya ketika membentangkan di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Kerajaan negeri juga tegasnya tidak sesekali mengamalkan dasar ‘balas dendam’ kepada mereka yang ‘anti-kerajaan’ dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Kita mempunyai tanggungjawab moral dan tugas awam untuk menjaga semua termasuk lawan politik. Kita memanjangkan tangan kita kepada anda kerana kita melihat diri sebagai kerajaan daripada rakyat, untuk rakyat dan oleh rakyat,” ujar Guan Eng.

Ini katanya termasuk sebahagian nelayan negeri itu yang dilihat anti-kerajaan kerana tidak bersetuju dengan projek penambakan laut bagi membiayai projek pengangkutan awam dan LRT Pulau Pinang.

“Dahulunya mereka menerima pukat, tetapi sekarang mendapat RM400 setahun. Semua bayaran tunai ini diagihkan kepada semua, termasuk ahli BN daripada UMNO, MCA dan MIC.

“Ahli BN boleh sewa dewan kerajaan atau memasuki mana-mana jabatan Kerajaan Negeri tanpa masalah, walaupun saya dilarang daripada memasuki sekolah rendah Cina.

“Adun BN boleh mendapat peruntukan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM40,000 setahun, namun ditolak, manakala Ahli Parlimen pembangkang tidak diberikan peruntukan kawasan,” katanya lagi. – Roketkini.com