Berita

Pulau Pinang peruntuk RM10 juta untuk perlindungan lereng bukit

GEORGE TOWN, 2 NOV: Sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi perlindungan lereng bukit melibatkan kajian perubahan iklim kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Beliau menegaskan, peruntukan ini bertujuan sebagai langkah pro-aktif bersifat pencegahan menangani isu alam sekitar termasuk kes-kes pertanian haram yang berlaku di negeri tersebut.

“Kerajaan Negeri telah bertindak secara pro-aktif terhadap bencana alam dan semasa mengendali krisis.

“Kita segera turun padang dan memberi khidmat bantuan, serta membaiki kerosakan yang berlaku akibat banjir dan tanah runtuh,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Marhen sebentar tadi.

Menurutnya, walaupun kerajaan negeri sebelum ini telah mengambil langkah-langkah pencegahan, perubahan iklim telah menyebabkan peralihan paradigma sehingga infrastruktur sedia ada menjadi lapuk dan tidak berguna dalam menghadapi cabaran-cabaran baru.

“Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, tanah runtuh kurang berlaku di kawasan yang mempunyai pembangunan berbanding kawasan yang tidak dimajukan.

“Jelas, kerja perlindungan tanah dilakukan semasa pemajuan namun ini tidak berlaku dalam kes pertanian haram,” kata Guan Eng.

Beliau menjelaskan, kemalangan pada 21 Oktober lalu akibat tanah runtuh di tapak pembinaan di Tanjung Bungah disyaki disebabkan oleh kecuaian profesional.

“Kemalangan tapak kerja ini telah meragut nyawa seorang penyelia tapak yang merupakan rakyat Malaysia dan 10 pekerja asing.

“Sebuah Suruhanjaya Siasatan Negeri telah ditubuhkan untuk menentukan dan menjawab semua persoalan yang timbul dalam format forum awam. Pendengaran Suruhanjaya adalah terbuka kepada orang ramai,” ketanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata hasil laporan tersebut akan didedahkan secara terbuka kepada masyarakat umum.

“Projek tersebut telah dibekukan dan perundingnya disenaraihitamkan sehingga keputusan Suruhanjaya diumumkan.

“Hasil laporan akan didedahkan secara terbuka. Biarlah Suruhanjaya menentukan sama ada projek tersebut dibina atas lereng bukit atau tanah rata, ataupun sama ada kuari merupakan punca tanah runtuh,” katanya lagi. – Roketkini.com