Berita

Peruntukan untuk agama Islam di Pulau Pinang meningkat lagi

GEORGE TOWN, 2 NOV: Peningkatan peruntukan untuk agama Islam dalam belanjawan Kerajaan Negeri Pulau Pinang setiap tahun mengundang reaksi aneh daripada pemimpin Barisan Nasional negeri itu.

Di satu pihak, pimpinan MCA negeri itu mendakwa Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai anti-Cina kerana gigih membantu orang Melayu-Islam.

Di satu pihak lagi, pemimpin UMNO pula mendakwanya sebagai anti-Islam, dengan menuduh bahawa peruntukan untuk sekolah-sekolah agama adalah tidak seberapa.

Menjawab kedua-dua tuduhan tersebut, Guan Eng dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2018 hari ini menjelaskan bahawa peruntukan untuk hal-ehwal Islam negeri itu telah meningkat sehingga 84% berbanding pentadbiran sebelum ini.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM457 juta kepada hal-ehwal agama sejak 2008, iaitu peningkatan 84% berbanding RM249 juta bagi tempoh masa yang sama panjang sebelum 2008.

“Hakikat ini telah mendorong Pengerusi MCA Pulau Pinang untuk melabelkan saya sebagai anti-Cina kerana mendapat undi Cina tetapi hanya membantu orang Melayu dan Islam.

“Namun pada masa yang sama, pemimpin pro-UMNO melabelkan saya sebagai anti-Islam. Jadi, yang manakah betul?” soalnya ketika membentang ‘Belanjawan Marhaen’ negeri Pulau Mutiara itu.

Beliau turut memberitahu bahawa peruntukan untuk sekolah agama di negeri telah berjumlah RM55.3 juta sejak tahun 2008.

“Ini tidak termasuk tanah yang diambil alih atau yang diberi kepada sekolah agama. Sekolah agama tidak hanya menerima RM1.75 juta setiap tahun, tetapi jumlah yang lebih besar, di bawah portfolio Exco bagi hal-ehwal agama Islam.

“Malahan, RM1.75 juta ini sebenarnya adalah peruntukan tambahan. Malangnya, sesetengah pihak dengan motif jahat sengaja mengabaikan jumlah besar yang diperuntukkan dan hanya menggunakan RM1.75 juta bagi menabur fitnah bahawa Ketua Menteri adalah anti-Islam,” ujar beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

“Biar saya nyatakan di sini bahawa kerajaan negeri Pakatan Harapan bukanlah anti-Cina atau anti-Melayu atau anti-India. Kita hanya anti-rasuah, anti-1MDB dan anti-GST,” tegasnya.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan peningkatan peruntukan hal-ehwal agama Islam daripada RM50 juta pada tahun 2017 kepada RM53 juta pada tahun 2018. – Roketkini.com