Berita

Daerah Seni Pulau Pinang bakal jadi tumpuan penggiat kreatif

GEORGE TOWN, 3 NOV: ‘Daerah Seni Pulau Pinang’ akan diwujudkan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta sebagai pemangkin ekonomi industri kreatif negeri ini dengan keluasan 9.2 ekar dan akan dibangunkan melalui konsep perbandaran kontena berdekatan Gat Lebuh McCallum dekat sini.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Daerah Seni Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah kepada koleksi galeri seni, muzium budaya, ruang pameran, studio seni dan muzik, sekolah seni dan bengkel seni yang terbesar di Malaysia.

“Seni dan budaya membentuk dan melakar citra dan sifat sesebuah bandaraya sebagai bertaraf antarabangsa dan kosmopolitan.

“Bandaraya tanpa seni dan budaya adalah bandaraya tanpa jiwa, seperti sehelai kertas kosong,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Marhaen semalam.

Kata beliau, bagi melengkapkan ruang seni berkenaan, perkhidmatan sampingan seperti kedai buku seni, kedai barangan seni, kedai bingkai dan khidmat kurier juga akan disediakan.

“Dengan keestetikan moden dan urban, konsep bandaraya kontena 100,000 kaki persegi ini akan menjadi yang terbesar di dunia.

“Daerah Seni Pulau Pinang bukan sahaja satu projek untuk rakyat Pulau Pinang tetapi juga untuk dikongsi dengan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu, kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang juga turut akan membangunkan pusat seni jalanan ‘KOTAK’ melibatkan melalui inisiatif sebanyak RM4 juta dari pihak swasta yang akan dibangunkan di Persiaran Karpal Singh.

“KOTAK, satu komuniti pusat beli belah jalanan seni dan budaya akan dibangunkan di Persiaran Karpal Singh, berdekatan George Town.

“Ianya terdiri daripada 58 unit kontena yang bakal mempromosikan seni, warisan dan budaya tempatan masyarakat Melayu,” kata Guan Eng.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menyediakan sebidang tanah pada kadar nominal supaya lot-lot tersebut boleh disewakan pada kadar yang rendah, RM600 sebulan termasuk bil elektrik dan air.  – Roketkini.com