Berita

PLUS, MRCB kaut untung besar hasil mansuh 4 tol

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Pampasan berjumlah RM110 juta setahun terpaksa dibayar oleh kerajaan dari 2018 hingga 2038 kepada syarikat konsesi empat tol yang dimansuhkan dalam ucapan Belanjawan 2018 pada Jumaat lepas.

Hasilnya, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, syarikat konsesi Plus Malaysia Bhd (PLUS) dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang mengendalikan tol tersebut bakal mengaut keuntungan yang besar daripada pemansuhan berkenaan.

“Mengandaikan pampasan yang tidak meningkat bagi tempoh itu, ia akan berjumlah RM2.36 bilion. Bagaimanapun, jumlah pampasan ini akan menjadi lebih tinggi apabila ia dikira berdasarkan penggunaan tol itu di masa hadapan.

“Sama ada pampasan yang diberikan secara tunai, atau sambungan konsesi, mereka yang menanggung bil itu adalah rakyat.

“Jangan dilupa bahawa kerajaan telah pun membayar pampasan kepada syarikat konsesi tol sebelum ini, apabila mengumumkan tidak menaikkan kadar tol, dalam ucapan bajet yang lalu,’ katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAP, pemansuhan tol berkenaan bukanlah percuma dan sebenarnya bakal ditanggung oleh rakyat.

“Setiap langkah populis ini akhirnya akan menambah kos kepada kerajaan dan rakyat Malaysia. Tol ‘percuma’ oleh Perdana Menteri ini bukanlah ‘percuma’,” ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman pemansuhan empat tol oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2018 pada Jumaat lepas.

Empat tol itu adalah tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, serta tol Kayu Hitam Bukit di Kedah, dan Eastern Dispersal Link (EDL) di Johor, yang akan dimansuhkan mulai 1 Januari tahun depan.

Tony dalam pada itu turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mencedok idea daripada Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2018 yang berazam memansuhkan kesemua tol secara berperingkat melalui “penyusunan semula dan rundingan semula perjanjian tol dengan syarikat konsesi”. – Roketkini.com