Berita

Selangor peruntuk RM1 juta bantuan banjir ke Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 6 NOV: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng merakamkan rasa penghargaan dan terharu di atas tindakan segera kerajaan Selangor yang mengumumkan pemberian sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Pulau Pinang ekoran bencana banjir dan ribut yang melanda negeri itu.

“Saya berasa terharu atas sokongan, simpati dan solidariti yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Azmin ke atas bencana yang berlaku di Pulau Pinang dan apa yang berlaku dan diderita oleh rakyat di sini.

“Saya ucapkan terima kasih mewakili Kerajaan Negeri atas sokongan beliau (Azmin), sehingga beliau sendiri hadir ke Pulau Pinang, batalkan program-program lain untuk menunjukkan komitmen beliau,” katanya dalam sidang media di Bilik Kawalan Kamera Litar Tertutup (CCTV) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat Komtar.

Selain sumbangan RM1 juta, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Mohd Ali yang turut serta dalam sidang media itu berkata, sumbangan tersebut turut disertai dengan jentera serta logistik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 300 sukarelawan.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri Selangor menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

“RM1 juta yang diberikan adalah untuk disumbangkan kepada keperluan mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

“PBT bersama-sama jentera juga diarahkan untuk turun membantu di sini sebaik sahaja banjir reda,” kata Azmin.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri, Wong Hon Wai; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan Darus, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Ghazali Derahman dan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Selain Selangor, Kerajaan Negeri Kelantan turut meluluskan RM50 ribu sebagai bantuan segera ke Pulau Pinang.

Menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Ahmad Yakob, kerajaan negeri juga akan menghantar sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas dengan bencana tersebut.

“Marilah sama-sama kita mendoakan agar keadaan banjir semakin baik dan tiada kemalangan jiwa yang berlaku.

“Bersabarlah diatas ujian Allah SWT yang menguji rakyat di sana melalui musibah banjir. Hanya dengan kuasa dan ketentuan Allah jua kita bermohon,” katanya dalam kenyataan media.  – Roketkini.com