Berita

DAP minta kerajaan ambil peduli nasib pemandu teksi tradisional

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin mendesak supaya kerajaan menyelesaikan segera isu pemandu teksi tradisional yang telah berlarutan.

Menurutnya, persaingan sengit antara pemandu syarikat e-hailing; Uber dan GrabCar telah menyebabkan pendapatan pemandu teksi konvensional negara ini terjejas teruk.

“Saya amat fahami dilema dan cabaran ekonomi yang terpaksa dihadapi oleh rakyat negara ini. Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, di tambah lagi cukai GST.

“Masing-masing rakyat perlu cari sumber pendapatan tambahan. Ada yang jadi engineer, pelajar dan ramai lagi terpaksa bawa Uber-GrabCar. Jadi, semua mereka ini menjadi saingan kepada pemandu teksi konvensional,” katanya dalam perbahasan Bajet 2018 di Parlimen malam tadi.

Penasihat DAP Sabah itu berkata, antara isu yang menjadi beban utama kepada pemandu teksi negara ini ialah isu penyewaan permit dan kadar tambang yang berbeza dengan perkhidmatan e-hailing.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong ketika berucap dalam perbahasan di Parlimen.

Katanya, sistem pemberian permit kepada syarikat tertentu dengan mengenakan kadar bayaran sewa harian yang tinggi kepada pemandu teksi menyebabkan pendapatan mereka terjejas teruk, ditambah dengan saingan sengit perkhidmatan e-hailing.

Keadaan itu jelasnya menyebabkan kadar pendapatan pemandu teksi merudum kepada 70 peratus berbanding sebelum ini.

“Katakanlah sehari kena bayar RM50. Ada penumpang atau tiada, mesti bayar. Jadi, walaupun penumpang tidak ramai, tetap kena bayar. Kalau 30 hari, pemandu teksi kena bayar RM1,500 kepada syarikat.

“Kalau di kawasan bandar, mungkin boleh. Tetapi, macam mana pula bagi kawasan pekan-pekan kecil, di kampung-kampung?” soalnya.

Merujuk kepada statistik SPAD sehingga bulan April tahun ini, terdapat 52,888 pemandu teksi di Semenanjung Malaysia. Bagi kawasan Lembah Klang, pemandu teksi mencatatkan jumlah 37,000 berbanding 60,000 pemandu Uber dan GrabCar.

Berdasarkan data Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah mencatatkan 6,178 pemandu teksi, manakala di Sarawak pula 4,596 pemandu teksi.

Jimmy menuntut supaya keadilan diberikan kepada seluruh pemandu melalui penyelarasan tambang dan penguatkuasaan pindaan Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat dan pindaan LPKP yangtelah diluluskan dalam sidang Parlimen Julai lalu.

Tegasnya, ketidakseimbangan tariff antara pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing menyebabkan berlakunya ketidakadilan.

“Jika tambang teksi ditetapkan oleh SPAD dan LPKP, siapa pula yang menetapkan tambang Uber dan Grab? Kerajaan atau syarikat kroni? Saya menggesa supaya kerajaan bertindak segera selaraskan harga tambang teksi, Uber dan Grab,” katanya.

Selain itu, tanpa penguatkuasaan undang-undang yang telah diluluskan katanya, pemandu Uber dan Grab seolah-olah beroperasi secara tidak sah.

“Ini soal keadilan. Jika pemandu teksi perlu jalankan pemeriksaan kenderaan, pembelian insuran penumpang, mendapatkan lesen vokasional; kenapa syarat-syarat ini belum dikenakan kepada pemandu Uber dan Grab.

“Saya mahu tegaskan, saya tidak mahu memusuhi mana-mana pihak. Tetapi, dalam apa juga keadaan; semua pihak yang terbabit perlulah mematuhi undang-undang,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa kerajaan meluaskan manfaat caruman PERKESO kepada pemandu teksi selari dengan manfaat yang diterima golongan pekerja di sektor lain.

“Saya menggesa supaya kerajaan mencontohi pelan pemberian pampasan kematian pemandu teksi seperti yang dilaksanakan di negara seperti New Zealand, Perancis, Singapura, Kanada, India dan banyak lagi,” kata beliau. – Roketkini.com