Berita

Speaker beri tiga sebab tolak usul bincang kenyataan Mahathir

SHAH ALAM, 8 NOV: Usul Adun Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus supaya Dewan Negeri Selangor mengecam kenyataan ‘lanun Bugis’ Tun Dr Mahathir tidak perlu dibahaskan.

Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh berkata pihak Dewan tidak akan masuk campur memandangkan siasatan polis masih berjalan.

Usul tersebut turut mendesak Kerajaan Negeri supaya tidak membenarkan premis miliknya digunakan oleh Mahathir, yang dirujuk sebagai Pengerusi Pakatan Harapan; bagi menjaga maruah dan kedaulatan negeri Selangor.

Pemberitahuan menolak usul tersebut menjelaskan bahawa premis milik kerajaan negeri boleh disewa oleh semua pihak, tanpa mengira fahaman politik.

Lebih penting lagi, DUN Selangor kini sedang membahaskan belanjawan negeri.

Shukur mengemukakan usul terbabit sebagai susulan kecaman Dewan di-Raja Selangor terhadap kenyataan Tun Mahathir dalam perhimpunan Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi di Padang Timur.

Dalam ucapan kemuncak tersebut, mantan perdana menteri itu merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘lanun Bugis’.

Kesultanan Selangor pula adalah berketurunan Bugis.

“Sekiranya usul Adun Kuang dibenarkan, perbahasan belanjawan harus ditangguh bagi memberi laluan kepada suatu perkara yang kini sedang disiasat polis.

“Peraturan mesyuarat pula menetapkan bahawa menjelang 12 tengah hari esok, perbahasan sudah sepatutnya memasuki peringkat jawatankuasa,” ujar Hannah Yeoh ketika dihubungi.

Menurut beliau, usul tergempar seharusnya perkara yang perlu disegerakan.

“Pada tahun 2014 saya benarkan usul tergempar mengenai catuan air, yang dikemukakan ketua pembangkang.

“Soal hidup dan mati bolehlah kemuka usul tergempar,” jelasnya. – Roketkini.com