Berita

DAP Pulau Pinang serah sumbangan banjir RM5 juta kepada Kerajaan Negeri

GEORGE TOWN, 9 NOV: DAP Pulau Pinang hari ini mengumumkan penyerahan RM5 juta daripada jumlah sumbangan terkumpul Tabung Bencana Taufan Dan Banjir DAP negeri itu sebanyak lebih RM6.18 juta kepada kerajaan negeri.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam sidang media sebentar tadi.

“Sehingga jam 10 pagi tadi kita telah mencatat kutipan sebanyak RM6,184,347.95.

“Kita akan serahkan sebanyak RM5 juta kepada kerajaan negeri dalam masa yang terdekat,” katanya yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir.

Menurut Chow, kempen sumbangan tabung bencana DAP Pulau Pinang itu masih diteruskan dan akan berakhir pada 15 November ini.

Pada 6 November lalu, DAP Pulau Pinang telah melancarkan kempen kutipan sumbangan bagi Tabung Bencana Taufan Dan Banjir Pulau Pinang untuk meringankan beban dan kesukaran yang dihadapi mangsa banjir besar negeri itu.

Dalam tempoh sekitar 24 jam dilancarkan, ia berjaya mengumpul lebih RM2,063,535 dan mencecah RM5,312,320 selepas tempoh hanya 64 jam. – Roketkini.com