Berita

Dedikasi perkhidmatan awam, masyarakat sivil urus bencana banjir dipuji

GEORGE TOWN, 9 NOV: Perkhidmatan cemerlang seluruh agensi dan kakitangan awam yang bertungkus-lumus menguruskan bencana dan mangsa banjir negeri ini harus mendapat pujian.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri mengutamakan tugas mereka dan menunaikan kewajipan meskipun ramai di kalangan mereka dan ahli keluarga turut mennjadi mangsa mangsa banjir.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh agensi kerajaan negeri, persekutuan dan masyarakat sivil yang telah banyak membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang terlibat dalam kerja bantuan banjir, dari pegawai perkhidmatan awam sehinggalah ke masyarakat sivil.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada komuniti perniagaan yang turut membantu dengan menyumbangkan tenaga kerja dan lain-lain bantuan,” katanya.

Guan Eng dalam masa yang sama memohon maaf sekiranya berlaku sebarang kekurangan dalam misi bantuan banjir.

“Dengan rendah diri, saya ingin memohon maaf sekiranya berlakunya kekurangan.

“Kerajaan negeri amat prihatin dan ambil berat kepada setiap mangsa dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki penyampaian perkhidmatan yang sedia ada,” katanya lagi

Sehingga kini, banjir mulai surut kecuali di beberapa kawasan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah yang mengalami tempias banjir dari Kedah apabila air yang melalui sungai-sungai melimpah keluar. – Roketkini.com

Kredit foto: MBPP