Berita

ROS arah guna senarai lama, faktor peratusan kehadiran rendah

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook hari ini menyanggah dakwaan ahli majlis tertinggi UMNO, Datuk Mahdzir Khalid berhubung jumlah peratusan rendah dalam pemilihan semula di Kongres Khas DAP yang diadakan semalam.

Mahdzir dilapor media mendakwa, peratusan rendah itu merupakan bukti kononnya DAP menghadapi krisis dalaman.

Mengulas tuduhan tersebut, Loke berkata peratusan kehadiran yang rendah itu sudah dijangka sejak awal lagi ekoran arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang menentukan hanya senarai perwakilan tahun 2013 digunakan.

“Dari awal lagi kita sudah beritahu, senarai perwakilan yang digunakan ini sudah lima tahun lepas, ada yang sudah meninggal dunia, ada yang meninggalkan parti.

“Sudah tentu peratusan menurun sebab senarai sudah lama. Ini kehendak ROS sendiri. Senarai perwakilan tak up to date, itulah sebabnya peratusan menurun,” jelasnya ketika dihubungi Roketkini.

Pemilihan semula CEC yang dilangsungkan di IDCC Shah Alam semalam menyaksikan kehadiran 53.94 peratus perwakilan daripada 2,514 notis yang dikeluarkan manakala sebanyak 1,346 kertas undi dikeluarkan.

Menurut pegawai pengurus pemilihan semula firma juru audit Grant Thornton, John Lau, jumlah senarai calon pada kali ini kurang enam orang berbanding senarai dalam Kongres Kebangsaan DAP 2013 yang mempunyai 68 nama.

Keputusan pemilihan semula tersebut menyaksikan perwakilan mengekalkan hampir semua pemimpin yang terpilih sebelum ini. – Roketkini.com