Berita

Dr Ariffin Omar nasihati Kamarul supaya guna akal

GEORGE TOWN, 13 NOV: Senator DAP, Dr Ariffin Omar hari ini menempelak tuduhan semberono pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff yang mendakwa kononnya barisan kepimpinan baru DAP mengukuhkan lagi dakwaan kononnya DAP mempunyai agenda Kristianisasi.

Menurutnya, beliau tidak hairan sekiranya mutu akademik institusi pendidikan di negara ini merosot memandangkan wujud sebilangan ahli-ahli akademik negara ini berfikiran seperti pensyarah berkenaan.

“Sebelum dia (Dr Kamarul) buka mulut, elok dia fikir dulu sebelum bercakap – elok baca balik Perlembagaan DAP.

“Dia ni tak ada kerja lainkah? Nak cari pasal pun carilah yang munasabah sikit. Adakah ini tahap ahli akademik kita?

“DAP dari dulu parti sekular berlandaskan Perlembagaan, tak kira mana-mana individu pemimpin yang kuat agama atau tak kuat agama; Islam atau bukan-Islam, siapa-siapapun boleh sertai DAP,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Kamarul sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mendakwa buku biografi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh, Becoming Hannah kononnya sebagai usaha dakyah menyebarkan ajaran itu.

Mengulas mengenai jawatan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan yang gagal dipertahankan dalam pemilihan semula di Kongres Khas DAP semalam, Dr Ariffin berkata sudah tiba masanya jawatan itu diberikan kepada pemimpin lain.

“Saya terima keputusan itu. Masanya sudah tiba bagi saya beri laluan kepada pemimpin lain.

“Saya pegang jawatan itu sejak 2012. Ini adalah proses pembaharuan dan kita kena terima, tiada masalah,” katanya lagi. – Roketkini.com

Kredit foto: DAP Air Putih