Berita

1MDB jimatkan wang negara? Mengarut!

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa penglibatan 1MDB dalam industri jana kuasa melalui pemilikan beberapa pengeluar tenaga bebas (IPP) akan membawa keuntungan kepada rakyat adalah tidak benar.

Malah, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua turut menyifatkan dakwaan Najib bahawa 1MDB menjimatkan negara sebanyak RM200 bilion untuk tempoh 20 tahun akan datang melalui pembabitan itu sebagai mengarut.

Ini katanya disahkan sendiri oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili di Parlimen pada 9 November.

Ongkili dalam ucapannya itu berkata pemilikan 1MDB terhadap IPP Tanjong Energy, Genting Sanyen dan Jimah tidak memberi kesan terhadap perubahan kos atau kadar tarif elektrik berikutan syarikat itu menetapkan kadar mengikut perjanjian.

“Ongkili sebenarnya telah menunjukkan bahawa dakwaan Najib itu adalah sangat mengarut,” ujar Tony dalam kenyataan, hari ini.

“Bukan sahaja menteri berkenaan mengakui bahawa penglibatan 1MDB tidak memberi kesan kepada kos tenaga atau kadar tarif, malah menambah bahawa penjimatan kos yang didakwa Najib itu langsung tidak ada kena mengena dengan perkara tersebut.”

Katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAP, rakyat Malaysia tidak menikmati sesen pun faedah memandangkan tarif elektrik semakin meningkat malah tidak pernah berkurang sejak 1MDB mengambil alih IPP tersebut.

Tony berkata, 1MDB juga mengalami kerugian setelah menjual kepentingan tenaganya kepada kerajaan China dengan harga RM9.83 bilion berbanding harga asal sewaktu pengambilalihan iaitu RM12.1 bilion.

“Sudah tiba masanya Najib Razak berdepan dengan fakta dan menghadapi kerugian berbilion ringgit yang disebabkan oleh 1MDB dalam sektor jana kuasa yang memberi kesan kepada pembayar cukai,” ujarnya. – Roketkini.com