Berita

Pembangkang P. Pinang keluar DUN, aksi terdesak mengelak pikul tanggungjawab bersama

GEORGE TOWN, 15 NOV: Gelagat pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang keluar dewan beramai-ramai selepas usul seorang wakil mereka, Muhamad Farid Saad dipinda hanyalah sekadar aksi bermotifkan politik semata-mata.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, ini bukanlah kali pertama usul Adun Pulau Betong itu dipinda.

“Beliau (Muhamad Farid) sendiri ada sebut ini kali kedua usulnya dipinda, dan beliau meninggalkan dewan.

“Mengapa pada kali pertama ketika usulnya dipinda, beliau bukan sahaja tidak meninggalkan dewan, malah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dan menyokong usul (pertama ketika itu),” jelas Guan Eng dalam sidang medianya sebentar tadi.

Pertikaian mula hangat semalam apabila usul Muhamad Farid yang mendesak kerajaan negeri menghentikan semua pembangunan di kawasan lereng bukit diubah oleh kerajaan negeri apabila  Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengemukakan pindaan.

Mohd Rashid mengemukakan usul supaya jawatankuasa bersama membabitkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan ditubuhkan bagi mengkaji semua pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar, supaya dapat dipantau dan dilaksanakan secara bersama.

Hairan dengan tindakan Adun pembangkang itu, beliau mempersoalkan adakah tindakan keluar dewan oleh sembilan Adun BN negeri itu dilakukan memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hampir. – Roketkini.com