Berita

Sudah cukup bukti siasat 1MDB, SPRM perlu buktikan ia ‘anak jantan’

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat skandal membabitkan syarikat dana berdaulat negara, 1MDB dengan kadar segera.

Ini berikutan kenyataan seorang bekas pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) – yang kini dikenali sebagai SPRM – bahawa terdapat cukup bukti untuk agensi anti rasuah itu melakukan siasatan terhadap penyelewengan membabitkan 1MDB.

Mohamad Ramli Manan seperti dilaporkan Free Malaysia Today (FMT) pada Jumaat lepas berkata pihak penyiasat SPRM hanya perlu meneliti prosiding mahkamah berkaitan 1MDB di Singapura dan laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat bagi membantu mereka.

“Bukti yang ada jelas dan boleh menjadi bantuan besar kepada pegawai SPRM,” katanya yang merupakan bekas Pengarah BPR Sabah.

Malah, menurut Ramli, SPRM adalah satu-satunya agensi yang mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk menjalankan siasatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak seperti polis yang hanya boleh meneliti kesalahan berkaitan Kanun Keseksaan.

Tony menyifatkan kenyataan itu sebagai tamparan terhadap kerajaan yang sebelum ini berkata SPRM tidak menjalankan siasatan ke atas 1MDB kerana ia telah diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC), Bank Negara dan polis.

“Kenyataan oleh bekas Pengarah BPR Sabah itu membuktikan bahawa jawapan yang diberikan kerajaan dan menteri amat memalukan dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Setiausaha Publisiti DAP itu justeru mengingatkan SPRM agar menjalankan tanggungjawabnya sebagai agensi bebas dan tidak tunduk terhadap pihak penguasa lain.

“Bagi membuktikan bahawa SPRM benar-benar anak jantan dan bebas, ia perlu segera memulakan siasatan terhadap skandal 1MDB dan memastikan dalang yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit dikenakan hukuman setimpal atas jenayah buruk mereka itu,” ujarnya.