Berita

Guan Eng betulkan maklumat Jabatan Meteorologi tentang taburan hujan P. Pinang

GEORGE TOWN, 20 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) didakwa mengeluarkan maklumat salah berhubung taburan hujan di kawasan tadahan Batu Ferringhi dan Teluk Bahang.

Agensi kerajaan Persekutuan itu sebelum ini mendakwa kawasan berkenaan kononnya menerima taburan hujan tertinggi sebanyak 483 mm pada September 1995.

Ia ternyata berbeza dengan fakta yang dikeluarkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, data yang dikeluarkan agensi kerajaan negeri itu menunjukkan taburan hujan yang tertinggi tidak berlaku pada tahun 1995 sebaliknya pada September tahun ini.

“Buatlah laporan yang betul, janganlah berbohong, nanti rakyat tidak percaya. Ini adalah fakta daripada PBAPP, jangan buat laporan palsu untuk kelirukan pembaca dan rakyat,” tegasnya dalam sidang media di Komtar dekat sini, hari ini.

Pada September 2017, katanya, jumlah taburan hujan yang dicatatkan di kawasan tadahan berkenaan adalah 1,162mm iaitu lebih satu kali ganda atau 100 peratus lebih tinggi berbanding yang dicatatkan pada September 1995.

“Berdasarkan fakta ini, jelas menunjukkan bahawa JMM berikan maklumat yang kurang tepat,” ujarnya sambil menegaskan fakta dan rekod yang dikeluarkan PBAPP telah disahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri.

Guan Eng turut menafikan kerja-kerja pembangunan sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kejadian tanah runtuh di negeri itu baru-baru ini, menegaskan bahawa ia terjadi disebabkan hujan lebat luar biasa.

“Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily (bertarikh 19 November 2017) juga ada melaporkan sebab berlakunya tanah runtuh baru-baru ini bukanlah kerana pembangunan, tetapi oleh jumlah hujan lebat yang berlebihan di negeri ini.

“Mana ada pembangunan (dijalankan) di kawasan hutan simpan kekal. (Kita) tidak dibenarkan, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang satu inci pun tidak tebang (Hutan Simpanan Kekal),” ujarnya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut menegur pihak tertentu yang dilihat cuba mempolitikkan kejadian bencana banjir di Pulau Pinang.

“Harap janganlah politikkan isu ini, rujuklah jumlah hujan yang direkodkan dari dahulu sehingga sekarang. Anggaplah ini sebagai bencana yang kita harus hadapi,” katanya. – Roketkini.com