Berita

Dewan Rakyat kecoh lagi, BN didakwa menipu dalam undi belah bahagi

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Dewan Rakyat kecoh seketika apabila wujud kejanggalan dalam proses undi belah bahagi perbahasan belanjawan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Sebenarnya BN sudah kalah, tidak seharusnya dibenarkan diluluskan di peringkat jawatankuasa,” tegas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Pengerusi, Datuk Ronald Kiandee didakwa telah melengah-lengahkan pengundian yang akhirnya memberi kelebihan kepada pihak kerajaan sebanyak satu undi sahaja, apabila membenarkan tiga Ahli Parlimen BN yang datang lewat untuk terus mengundi.

Dewan langsung kecoh apabila blok pembangkang melaungkan seruan ‘Tipu!’ berkali-kali membantah pengiraan yang memakan masa 20 minit walaupun hanya berbeza satu undi.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang bangun bagi menentang penyalahgunaan proses yang berlaku, menegaskan bahawa Speaker perlu bertindak secara adil.

“Semua ahli-ahli yang di dalam dewan sahaja yang boleh mengundi. Soalan yang berbangkit ialah sama ada kita boleh tunggu sampai semua ahli parlimen tiba,” jelasnya dalam sidang media di lobi parlimen sebentar tadi.

“Proses pengundian dilengahkan sehingga tiga ahli parlimen tiba pada saat-saat akhir. Semua yang hadir sahaja boleh mengundi, tidak boleh tunggu sepanjang malam,” tambahnya, merujuk Aturan 47 Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sambil menyifatkan tindakan Speaker sebagai satu penyalahgunaan kuasa.

Bagi Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa wujudnya penipuan pengiraan undi di dalam Dewan Rakyat menghakis keyakinan umum terhadap proses demokrasi ketika pengiraan undi dalam pilihanraya.

“Kalau dalam dewan pun berlaku penipuan dari segi kiraan, bagaimana kita nak yakin dengan pilihanraya di luar sana?” soalnya.

“Sebenarnya apabila loceng berbunyi, itu tandanya diminta kepada semua ahli parlimen masuk ke dewan. Apabila telah diberi masa, di situ mulanya pengiraan.

“Tetapi malangnya (Speaker) melengah-lengahkan. Mungkin dia tengok waktu tu belum cukup undi, dia tunggu lagi. Ini yang kami pertikaikan,” tegas beliau.

Ada wakil rakyat berkecuali

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke pula berkata, blok pembangkang telah terlepas peluang untuk menghantar mesej yang kuat kepada kerajaan berkenaan kenaikan kos harga barang dan harga petrol.

“Kita sebenarnya di blok pembangkang ada peluang keemasan ini kerana kita mempunyai 53 orang ahli.

“Tetapi yang mengundi untuk menolak jawatankuasa KPDNKK ini hanya 51 orang. BN menang hanya dengan satu undi. Ada dua orang dari blok pembangkang yang berkecuali,” jelasnya.

Beliau bagaimana pun enggan menamakan siapakah dua individu tersebut bagi menghormati proses parlimen, dan membiarkan pihak dewan merakamkan nama mereka.

“Ada yang bukan dari HARAPAN mengundi bersama kita, dan ada dua orang berkecuali. Dua orang inilah yang menyebabkan kita tidak dapat menewaskan belanjawan di peringkat jawatankuasa pada malam ini.

Kertas undian bagi setiap blok tidak boleh diubahsuai apabila ia telah ditandatangani oleh ketua blok dalam proses undi belah bahagi.

Namun Dewan Rakyat menyaksikan malam ini bagaimana dua blok pihak kerajaan mendapat semula borang tersebut untuk diubahsuai bagi menambah undi ahli dewan yang tiba pada saat akhir.

Lima ahli parlimen BN didakwa bergegas masuk ke dewan, tiga daripadanya muncul setelah kertas undi ditandatangani, termasuk Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said. – Roketkini.com