Berita

Kebocoran data peribadi perlu tindakan tegas kerajaan

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kerajaan perlu memainkan peranan proaktif dalam menangani isu kebocoran data peribadi lebih 50 juta pengguna telefon mudah alih seperti yang didedahkan sebuah laman sesawang berkaitan teknologi baru-baru ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, nasihat yang diberikan kerajaan agar pengguna mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan maklumat mereka selamat daripada dicuri penjenayah siber dilihat tidak mencukupi bagi menangani isu itu.

“Daripada sentiasa memberitahu pengguna untuk lebih berhati-hati, kerajaan perlu menggesa pemilik data termasuk pihak mereka sendiri untuk meningkatkan piawaian dan bukannya membuat pemantauan secara pasif dan tidak bertindak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari semalam yang meminta rakyat agar menukar kata laluan secara berkala dan tidak mendedahkan maklumat peribadi melalui internet bagi melindungi diri mereka daripada serangan siber.

Mengulas lanjut, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, saranan menteri UMNO-Barisan Nasional (BN) itu membangkitkan persoalan tentang kesungguhan kerajaan dalam melindungi data peribadi rakyat negara ini.

“Persoalan yang perlu terus ditanya ialah siapa sebenarnya yang kerajaan cuba lindungi melalui saranan tersebut.

“Nampaknya seolah-olah kerajaan lebih cenderung untuk melindungi reputasi syarikat-syarikat gergasi yang diamanahkan dengan data rahsia kita dengan cara menutup skandal berkenaan,” ujarnya.

Lowyat.net awal bulan ini menyiarkan artikel berhubung kecurian data secara besar-besaran daripada syarikat telekomunikasi termasuk Celcom, DiGi, Maxis, Tune Talk dan Umobile.

Artikel itu menyifatkan insiden berkenaan sebagai pelanggaran data terbesar dalam sejarah Malaysia. – Roketkini.com