Berita

Kerajaan Persekutuan digesa percepat bantuan kewangan mangsa banjir P. Pinang

GEORGE TOWN 23 NOV: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekali lagi menyeru kerajaan Persekutuan agar segera menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di negeri itu.

Berbeza dengan kerajaan Persekutuan, katanya, kerajaan negeri telah bertindak pantas dengan membuat pembayaran sebanyak RM400 kepada mangsa yang terjejas ekoran banjir pada 15 September lepas.

“Janji yang kita (kerajaan negeri) umumkan janji itu jugalah yang kita tunaikan.

“Malah, untuk mangsa-mangsa banjir pada 4 dan 5 November baru-baru ini, kerajaan negeri akan memberikan RM700 yang akan dibayar pada akhir tahun ini,” ujarnya dalam sidang media di Komtar dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekesalan dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat baru-baru ini tentang agihan wang bantuan oleh kerajaan Persekutuan kepada mangsa bencana mengikut negeri sejak 2013 sehingga kini.

“Saya kesal apabila jawapan yang diterima daripada Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim bahawa sejak 2013 sehingga September 2017, Kerajaan Pusat telah membelanjakan RM234,883,470 bagi membantu mangsa bencana seluruh Malaysia.

“Pulau Pinang hanya menerima RM35,500, paling kecil iaitu 0.015 peratus daripada keseluruhan jumlah yang dibelanjakan untuk bantuan bencana,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Beliau justeru meminta kerajaan Persekutuan supaya memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa bencana banjir di Pulau Mutiara itu.

“Janganlah berikan gambaran bahawa Pulau Pinang telah dilupai. Seperti seolah-olah tidak berlaku bencana banjir yang teruk, ini tidak patut dan tidak munasabah.

“Sedangkan Kelantan menerima RM90.34 juta dan Pahang, RM41.06 juta, tetapi Pulau Pinang hanya RM35,500,” jelasnya sambil berharap supaya kerajaan Persekutuan dapat membuat pembayaran dengan segera kepada mangsa banjir di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang berikutan bencana banjir baru-baru ini.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan orang tersayang dan hari ini saya menyampaikan sedikit bantuan berjumlah RM2,000 kepada keluarga terlibat,” katanya.

Mereka ialah keluarga Allahyarham Amanullah Sahib Kalandhir, 75, dari Kampung Masjid, Jalan Perak dan keluarga mendiang Tan Ah Peow, 45, dari Jalan Mata Kucing, Air Itam.

Manakala, keluarga mendiang Chew Eng Lean, 78, dari Pusat Penjagaan Orang Tua Jalan P. Ramlee dan keluarga Allahyarham Amanullah Sahib pula menerima tambahan RM1,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian banjir paling buruk yang pernah direkodkan di dalam sejarah negeri Pulau Pinang baru-baru ini. – Roketkini.com