Berita

Apa khabar dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia?

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Dr Ong Kian Ming hari ini mengingatkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai tentang Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) bagi menyiasat kejadian kemalangan kereta api yang sehingga kini masih belum ditubuhkan.

Perkara ini disuarakan Ahli Parlimen Serdang itu susulan kejadian kereta api kargo tergelincir di Stesen Bank Negara semalam yang mengakibatkan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tergendala di beberapa lokasi.

“Usaha untuk menubuhkan badan berkanun ini sepatutnya di peringkat ‘akhir’ pada Disember 2016 lepas tapi sehingga kini, kita masih tidak lihat tanda-tanda bahawa perkara ini akan dibentangkan dalam sesi Parlimen kali ini.

“Jika badan berkanun berkenaan ditubuhkan dalam tahun ini, ia boleh ditugaskan untuk menyiasat kejadian kereta api tergelincir baru-baru ini.

“Namun oleh kerana ketidakcekapan menteri berkenaan, kita bertindak menunding jari antara satu sama lain dan tidak ada seorang pun dari kita mengetahui punca sebenar dan cara mengatasi kemalangan seumpama itu di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah dalam kenyataan semalam telah mengarahkan KTM untuk menghentikan operasi kargo dari Rawang ke Salak Selatan sehingga siasatan ke atas insiden itu selesai.

“Saya mengalu-alukan tindak balas pantas SPAD dan mendesak SPAD memastikan KTM membayar balik penumpang yang terjejas agar mereka tidak perlu membayar lebih akibat terpaksa menggunakan MRT,” ujar Kian Ming.

Dalam pada itu, beliau yang juga Penolong Pengarah Pendidikan Politik turut menuntut agar SPAD mengetuai pasukan penyiasat berhubung insiden berkenaan dan mendedahkan hasil siasatannya kepada umum.

Ini merupakan kali ketiga KTM dilanda masalah teknikal, selepas pada 23 September menghadapi masalah kabel elektrik antara stesen Rawang dan Kuang sehingga memaksa penutupan operasi selama dua hari selain insiden kereta api kargo tergelincir pada 21 Ogos. – Roketkini.com