Berita

Galeri awam perlu telus, jangan tindas seniman berkarya

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Galeri awam perlu menjadi pusat seniman negara ini berkarya, berdialog dan berkreativiti dengan selesa selain perlu bersikap telus terhadap seniman tegas Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim.

Beliau berkata demikian merujuk kepada insiden ‘kehilangan’ sebahagian komponen karya berjudul Pusat Sekitar Seni (PSS) gabungan artis Pusat Sekitar Seni (PSS) dan Population Project di Balai Seni Visual Negara (BSVN) kelmarin yang mengundang pelbagai persoalan.

“Apa pun kesalahan artis atau karya tersebut, ia perlu diberi penjelasan yang telus dan adil kerana ini soal prinsip kebebasan berekspresi. Ada orang yang cari makan dengan cara ini, kenalah hormat.

“Balai Seni Negara adalah sebuah institusi yang sah, yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai arena buat golongan budayawan memperagakan ekspresi mereka kepada khalayak.

“Saya melihat bagaimana BSVN yang sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk seniman berkarya, tidak berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan The Malaysian Insight, jurucakap yang juga artis PSS, Aisyah Baharuddin memaklumkan bahawa polis telah mengambil sebahagian karya mereka bagi tujuan siasatan ekoran aduan awam kononnya memiliki ‘unsur komunisme’.

Sehubungan itu, gabungan seniman Malaysia dan Indonesia tersebut telah membuat keputusan menarik diri dari menyertai pameran seni Biennale Kuala Lumpur (KLB) 2017 sehari sebelum acara itu dilangsungkan pada hari ini.

Mahdzir dalam perkara berkaitan turut mempersoalkan peranan penganjur pameran tersebut yang sepatutnya menggariskan kriteria pemilihan setiap karya.

“Bagaimana boleh berlaku, karya yang dianggap ‘menyalahi’ undang-undang boleh dipilih untuk menyertai pameran pada peringkat awal?

“Tidakkah mereka mempunyai panel kurator untuk memilih atau menyaring setiap jemputan atau permohonan penyertaan sebelum karya disenarai untuk dipamerkan?

“Di peringkat BSVN sendiri sudah banyak masalah yang harus diteliti. BSVN ini agensi awam, agensi yang menerima peruntukan tahunan berjuta-juta ringgit dari wang cukai rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata, insiden ‘kehilangan’ karya seniman negara ini bukanlah kali pertama berlaku.

“Sebelum ini berlaku isu karya pelukis yang terpilih untuk pameran Bakat Muda Sezaman 2013, hilang dari senarai pameran. Ia program anjuran BSVN.

“Di tempat yang sama juga karya pelukis muda Sudin Lappo, pernah hilang seketika dari pameran. Malah, terdapat lagi karya yang menerima nasib yang serupa di pameran yang lain,” katanya lagi. – Roketkini.com