Berita

Ribuan penduduk pedalaman dapat manfaat projek air graviti DAP Sabah, Impian Malaysia

PENSIANGAN, 27 NOV: Ribuan penduduk di pedalaman Sabah yang dipinggirkan kerajaan UMNO-BN telah mendapat banyak manfaat hasil usaha DAP Sabah dan Impian Malaysia melaksanakan pelbagai pprojek bekalan air dan pemberdayaan komuniti.

Stephen Wong, Pengerusi DAP Sabah, Ahli Parlimen Sandakan

Terkini, DAP telah melancarkan empat lagi projek air graviti dan sistem pam air berkuasa solar di Kg Pangas Ulu, Kg Magatang, Kg Molosok dan Kg Kelanaan.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt berkata, projek-projek ini merupakan bukti DAP komited dalam memastikan seluruh masyarakat wilayah itu menikmati keperluan asas air yang sempurna.

“Meski pun DAP dan Pakatan Harapan (HARAPAN) belum menjadi kerajaan, kita sudah buktikan bahawa kita mampu dan berusaha untuk mengurus dan mencari penyelesaian kepada masalah keperluan asas rakyat wilayah ini khususnya di kawasan pedalaman.

“Ini juga menunjukkan bahawa kerajaan UMNO-BN Sabah terbukti telah gagal menangani isu keperluan asas apabila sejak sekian lamanya penduduk diabaikan,” katanya dalam majlis perasmian projek air graviti di Kg Molosok dan Kg Magatang.

Perasmian sistem pam air berkuasa solar di Kg Molosok

Menurut Ahli Parlimen Sandakan itu, dua projek tersebut akan memberi manfaat kemudahan air kepada lebih 1,500 penduduk.

Projek bekalan air di Kg Magatang katanya hanya menelan belanja sekitar RM30,000 dan siap dalam tempoh dua hari hasil semangat gotong-royong penduduk dan sukarelawan DAP – Impian Malaysia.

Projek air graviti Kg Molosok pula telah dimulakan sejak bulan Ogos tahun ini hasil permintaan penduduk.

Penduduk kecewa, wakil rakyat BN berdolak dalik

Menurut penduduk, masalah air yang dihadapi mereka telah pun diajukan kepada wakil rakyat kawasan berkenaan pada tahun lalu namun gagal dilaksanakan dengan alasan kos pembinaannya yang mahal sebanyak RM1.5 juta dan jauh dari punca air.

Adrian Lasimbang, Penyelaras DAP Pensiangan

Ternyata, alasan yang diberikan wakil rakyat BN itu amat mengecewakan apabila DAP Sabah dan Impian Malaysia berjaya melaksanakan projek pam air berkuasa solar di kampung tersebut dengan belanja jauh lebih rendah sebanyak RM90,000.

Idea pemasangan projek pam air berkuasa solar itu dicetuskan oleh Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang menerusi kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang tersebut.

“Projek Sistem Solar Pump Agihan Air Graviti ini merupakan satu projek penyelesaian untuk permasalahan air bersih yang sepatutnya boleh digunapakai oleh kerajaan sendiri dalam mencari alternatif lain untuk menyelesaikan masalah seperti di Kg Molosok.

“Dengan kapasiti dana dan kemampuan teknologi kerajaan ianya bukan satu projek mega yang tidak mampu dilaksanakan.

“Jika difikirkan, nilai RM1.5 juta untuk pembangunan projek graviti air bukanlah satu jumlah yang besar berbanding dengan bajet sebanyak RM1.5 bilion ringgit yang diperuntukan oleh kerajaan untuk pembangunan luar bandar di Sabah,” kata Adrian yang juga Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Sabah. – Roketkini