Berita

Speaker DUN Perak didakwa pertahan Adun BN guna kata kesat

IPOH, 27 NOV: Hanya kerana menuntut keadilan ke atas dirinya yang dihina dengan perkataan kesat oleh seorang Adun Barisan Nasional (BN), Adun Pasir Pinji, Howard Lee hari ini diarahkan keluar dewan oleh Speaker DUN Perak, Datuk S Thangasvari.

Adun Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib seperti dilaporkan beberapa akhbar berbahasa Cina pada 24 November lepas telah mengeluarkan perkataan kesat terhadap Howard dan Adun Pakatan Harapan.

Howard justeru hari ini mengusulkan supaya Khusairi dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ekoran kenyataan beliau itu, namun tidak disenangi Adun BN sehingga membawa pertelingkahan antara kedua-dua belah pihak yang berlanjutan selama 30 minit.

Adun Kamunting, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid kemudian bangun dan mengusulkan Perintah Tetap 44 (3) agar Howard yang juga Pengarah Biro Hal-Ehwal Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY) digantung perkhidmatannya.

Ia dipersetujui wakil kerajaan dan Howard diiringi bentara untuk keluar dewan diikuti Adun pembangkang kecuali PAS.

Mengulas mengenai keputusan berkenaan, Howard berkata, ia menunjukkan “kebobrokan pemikiran BN” ekoran tindakan Speaker yang mempertahankan Adun yang menghina dewan dengan perkataan kesat tetapi menghalau keluar pihak yang membangkitkannya.

“Perintah tetap DUN Perak mempunyai peruntukan-peruntukan untuk menangani tingkah-laku yang kurang sopan seperti yang ditunjukkan Khusairi itu.

“Oleh kerana kami tidak hendak melengah-lengahkan urusan dewan, tetapi kami tidak sanggup membenarkan tingkahlaku sebegitu kesat dibiarkan sahaja.

“Maka saya membentangkan usul bagi merujuk percakapan Adun Slim itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, yang diberi kuasa menangani kes seperti ini,” katanya kepada Roketkini.

Namun malangnya kata beliau Speaker tidak menyambut baik usulnya yang bertujuan untuk menjaga martabat dan integriti DUN Perak, sebaliknya berpihak kepada individu yang menghinanya. – Roketkini.com