Rencana

Kisah sedih pemandu teksi yang ramai tidak tahu

Jika tiada penumpang, dia akan duduk-duduk di stesen hentian depan Mydin Mart Kota Kemuning itu dengan teman-temannya yang lain – ada ketika, sambil minum-minum kopi, telefon bimbitnya berbunyi – keretanya dihidupkan dan dia pun meluncur ke destinasi.

Begitulah rutin kehidupan M. Manugharan, 52, sejak lebih dua dekad lalu yang hampir separuh nyawanya berada di atas jalan, sebagai pemandu teksi tradisional bermeter di sekitar Shah Alam – Lembah Klang.

Namun, cabaran teknologi dan permintaan semasa secara langsung telah memberi kesan besar terhadap poket dan periuk nasi keluarganya.

Industri teksi yang ada di negara ini sejak seratus tahun lalu perlahan-lahan dibunuh akibat kegagalan kerajaan menangani perkembangan industri pengangkutan awam baru e-hailing Uber dan GrabCar.

Pemandu teksi, M. Manugharan

Ketika menemuinya, Manu sedang membawa seorang penumpang warganegara Pakistan. Dia berhentikan kereta tepi jalan sebelum melambai ke arah saya membuat isyarat masuk ke dalam kenderaannya sambil telefon bimbit masih di telinga menghubungi saya.

Timbul rasa serba salah sebaik melabuhkan punggung di kerusi depan apabila mamat Pakistan itu termangu-mangu dengan kehadiran saya – yang kemudian terpaksa pula mendengar celoteh saya dan Manu.

Kos hidup tinggi, masyarakat pilih khidmat murah

Kenaikan kos sara hidup khususnya di kawasan bandar, menyebabkan kita memilih menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih murah berbanding memandu sendiri ke pejabat atau membeli-belah, ke sekolah, dating dan sebagainya.

Tahukah anda, disebalik tambang rendah Uber-GrabCar, rupa-rupanya ada suatu kezaliman yang terang-terang berlaku ke atas pemandu teksi? Tapi, anda tidak perlu khuatir, anda tidak bersalah dalam hal ini.

Beliau mengadu, layanan kerajaan selama ini terhadap teksi tradisional jauh berbeza macam anak tiri. Maka tidak hairanlah apabila pemandu-pemandu teksi sudah pandai turun jalanraya buat demo.

“Siapa yang tentukan tambang Uber dan Grab ini? SPAD? LPKP? Ataupun syarikat swasta yang uruskan? Sekarang ini mereka yang tetapkan tambang bukan SPAD atau LPKP.

“Dia tak selaraskan dia nak buat duit. Bukan pemandu Uber atau Grab yang kaya raya. Syarikat kroni yang kaya. Seolah-olah cara ini mahu bunuh industri teksi. Selepas tu dia nak bermaharajalela dalam Malaysia. Syarikat yang untung, bukan pemandu,” luahnya.

Saingan sengit Uber dan GrabCar yang semakin bermaharajalela tanpa kawalan kata Manu telah menyebabkan ramai pemandu teksi tradisonal seperti dirinya dan rakan-rakannya yang lain terjejas teruk dan ada juga yang telah ‘bungkus’ dan bertukar mencari pendapatan cara lain.

“Akibat (saingan Uber dan GrabCar) ini, pendapatan kami turun sampai 70 peratus, nak makan apa” kata Manu.

Dia meluahkan rasa sedih, kecewa dan marah terhadap nasib yang menimpa pemandu-pemandu teksi sepertinya yang seolah-olah dipandang sebelah mata oleh kerajaan.

Raja, yang juga pemandu teksi turut berkongsi pandangannya dengan Roketkini.

“Bukannya tiada inisiatif, tapi adakah itu betul-betul selesaikan masalah? Adakah sistem (e-hailing) sekarang ini adil?” soalnya.

Dia mendedahkan, selain kadar tambang, penumpang juga tidak diinsurankan sekiranya mengambil perkhidmatan Uber dan GrabCar berbanding perkhidmatan teksi?

Inilah katanya yang mencetuskan pelbagai kontroversi di banyak negara sehingga beberapa buah negara telah mengharamkan perkhidmatan tambang murah itu.

“Teksi kena bayar sewa permit, perlu ambil lesen vokasional, perlu ambil insuran untuk penumpang. Grabcar, Uber, adakah mereka perlu bayar lesen vokasional dan insuran penumpang?” soal Manu emosi.

Merujuk kepada statistik SPAD sehingga bulan April tahun ini, terdapat 52,888 pemandu teksi di Semenanjung Malaysia.

Bagi kawasan Lembah Klang, pemandu teksi mencatatkan jumlah 37,000 berbanding 60,000 pemandu Uber dan GrabCar.

Berdasarkan data Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah mencatatkan 6,178 pemandu teksi, manakala di Sarawak pula 4,596 pemandu teksi.

Dari atas jalan, perbualan saya dengan Manu berakhir di sebuah restoran makanan segera. Meski kelihatan penat, dia tetap kelihatan bersemangat namun tidak pasti, apa nasib yang bakal dilaluinya esok. – Roketkini