Berita

Lim Guan Eng tidak songlap duit, ini buktinya

Sejak pentadbiran negeri Pulau Pinang bertukar tangan berikutan tsunami politik 2008, tidak sedikit pujian dan pengiktirafan yang diterima oleh kerajaan baru negeri itu daripada Jabatan Audit Negara.

Pengiktirafan tersebut menjadi kayu pengukur kejayaan kerajaan negeri Pakatan Harapan menyelenggara kewangan dan infrastruktur negeri, demi kemaslahatan rakyat terbanyak; walaupun ditohmah dengan pelbagai tuduhan berbaur perkauman dan agama.

Terbaru, negeri Pulau Mutiara itu menggondol tempat teratas dalam Indeks Akauntabiliti Laporan Ketua Audit Negara 2016.

Pulau Pinang meneruskan prestasi pencapaian cemerlang mencatatkan lebihan belanjawan setiap tahun sejak 2008 dengan keuntungan sebanyak RM89 juta dalam tahun 2016.

Selain memiliki hutang kerajaan negeri yang paling kecil dalam negara sebanyak RM66 juta setelah mengurangkan jumlah hutang sebanyak 90%, kerajaan negeri turut berjaya menambahkan aset rizab daripada RM 849 juta pada 2008 kepada RM 1,828 juta pada akhir 2016.

Penambahan aset rizab sebanyak hampir RM1 bilion ini adalah jauh lebih cemerlang jika dibanding dengan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Ekoran kejayaan yang bertali arus ini, wujudlah dakwaan kononnya Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah mengambil habuan berjumlah RM73.61 juta daripada perbelanjaan negeri.

Sebenarnya Laporan Audit idak pernah menyatakan bahawa wang ini disonglap oleh mana-mana pihak ataupun hilang. Sebaliknya ia masih dalam akaun kerajaan negeri dan tidak pernah dipindahkan ke mana-mana akaun swasta.

“Adalah tidak benar dakwaan pihak tertentu bahawa RM73.61 jtua telah hilang atau disonglap oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng,” kata Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang Dato Sarul Bahiyah.

“RM73.61 juta daripada jumlah perbelanjaan terlibat telah diselaraskan kepada Akaun Amanah Jabatan Kewangan Negeri (JKN),” tambahnya bagi mengambil kira komitmen pembiayaan untuk projek-projek kerajaan negeri.

Ini termasuklah pinjaman RM70 Juta kepada PDC untuk tujuan membiayai kos pengambilan tanah dan pembangunan infrastruktur dalam menggalakkan pembangunan yang seimbang di kawasan Seberang Perai.

“Pinjaman kepada PDC telahpun dijelaskan oleh PDC pada 23 Ogos 2017, dan kini sifar tanpa sebarang pinjaman yang dihutang kepada JKN kerajaan negeri,” tambah beliau.

Selain itu sejumlah RM3.61 juta selebihnya yang diselaraskan kepada Akaun Amanah JKN ialah untuk pembiayaan 24 projek kecil yang merangkumi projek-projek Penyelenggaraan Perumahan Maksima 80:20 bagi perumahan swasta kos rendah dan sederhana rendah, projek arkeologi Guar Kepah dan pembiayaan program-program pendidikan.

Daripada 24 projek terlibat, 12 projek telah dapat disiapkan setakat ini dalam tahun semasa 2017 dengan jumlah perbelanjaan RM637,821.51. 12 projek selebihnya adalah dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Jabatan Kewangan Negeri juga ingin mengesahkan kenyataan YAB Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa premium tanah dalam akaun amanah JKN bukanlah hanya premium penjualan tanah tetapi juga merangkumi premium tukar syarat tanah dan premium melanjutkan tempoh pajakan tanah kepada 99 tahun.

“Sejak 2008, premium tanah hasil penjualan tanah kerajaan negeri adalah RM939 juta,” jelasnya lagi.

Daripada jumlah hasil jualan tanah ini iaitu sebanyak RM939.2 juta, RM500 juta diberikan kepada PDC untuk Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik untuk membina rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik kepada golongan bawah. – Roketkini.com