Berita

DAP gesa SPRM siasat DBKL jual tanah bawah harga pasaran

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat penjualan tanah kerajaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju yang didakwa tidak mengikut prosuder yang betul dan dijual di bawah harga pasaran.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membuat gesaan itu susulan laporan seorang penduduk Taman Desa, Edmund Teoh Kheng Yaik kepada SPRM berhubung perkara terbabit.

“Saya berharap SPRM akan mengambil laporan Edmund Teoh dengan serius dan menjalankan siasatan ke atas penjualan tanah dan kelulusan projek Residensi Desa Satumas dan juga kes-kes yang sama yang lain dengan sewajarnya.

“Ini demi menentukan samada prinsip ketelusan dan kepentingan rakyat dipegang oleh pihak DBKL,” ujar Teresa dalam kenyataan, hari ini.

Edmund membuat laporan tersebut berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang mendedahkan DBKL menjual tanah kepada Garuda Searah Sdn Bhd (GSSB), iaitu pemaju Residensi Desa Satumas di bawah harga pasaran.

Syarikat pemaju terbabit menurutnya membeli tanah berkenaan dengan harga RM24.07 juta.

“Mengikut risalah jualan Residensi Desa Satumas, tanah projek ini berukuran 7.485 ekar. Sekiranya jumlah wang yang dibayar oleh pemaju Residensi Desa Satumas ialah RM24.07 juta, ini bermaksud harganya ialah lebih kurang RM 74 satu kaki persegi.

“Harga pasaran tanah di Taman Desa sekarang adalah lebih kurang RM400 satu kaki persegi.

“Ini bermaksud harga yang dibayar oleh pemaju kepada DBKL adalah jauh lebih rendah daripada harga pasaran dan ini telah merugikan DBKL,” ujar Teresa yang juga Timbalan Pengerusi DAP.

Akhbar The Star pada 30 September lalu katanya turut menyiarkan artikel mengenai penjualan tanah terbabit yang dilaporkan tidak melalui tender terbuka.

“Pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 telah jelas membuktikan penyelewengan yang berlaku di dalam DBKL.

“Memandangkan DBKL telah meluluskan banyak projek pangsapuri tanpa mematuhi KL City Plan 2020 yang tidak diwartakan, saya percaya penyelewengan seperti apa yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 ini bukannya kes terpencil,” ujarnya.

Beliau justeru menggesa SPRM memandang serius laporan yang dibuat Edmund dan segera menyiasat perkara terbabit. – Roketkini.com