Rencana

Trend artis popular bangkit bersuara gusarkan UMNO-BN

Seorang demi seorang artis popular negara ini bersuara mengenai kepayahan dan kelembapan ekonomi yang menjejaskan kehidupan kita.

Tak kurang juga artis muda yang berani mengeluarkan kenyataan terang-terangan membela tokoh negarawan Tun Mahathir Mohamad seperti Fathia Latiff mempersoalkan langkah kerajaan menyiasat mantan Perdana Menteri itu berhubung kes forex yang berlaku 30 tahun lalu.

Begitu juga dengan soalan-soalan panas yang dibangkitkan pengacara popular Datuk Aznil Nawawi yang mempersoalkan beberapa langkah kerajaan kepada Perdana Menteri Datk Seri Najib Razak seperti kos sara hidup tinggi, kenaikan harga minyak, cukai GST dalam sebuah rancangan yang bakal muncul di televisyen.

Kita boleh buat anggapan, aksi berani mereka itu seolah-olah ‘kamikaze’ yang tidak lagi mempedulikan nasib dan ancaman terhadap populariti dan periuk nasi mereka – ini sungguh satu perkembangan menarik.

Belum pun sempat sejuk, Ratu Jazz Malaysia, Sheila Majid muncul memanaskan keadaan melalui kicauan-kicauan dalam twitternya yang tular di media sosial.

Sheila lantang membangkitkan isu kelembapan ekonomi negara yang membebankan rakyat.

“Makanan mahal, nilai ringgit lemah, kos sara hidup tinggi dan pekerjaan pula kurang.

“Rakyat Malaysia sudah bosan dan marah kerana diperah akibat hutang yang bukan berpunca daripada kami.

“Tumpu perhatian kepada tugas untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul. Mengecewakan,” tulisnya.

Setakat jam 1.40 petang hari ini, status tersebut telah diulang-tweet sebanyak lebih 17,000 kali dengan 10,000 like.

Di sebalik komen-komen positif menyokong kenyataannya menyuarakan keresahan rakyat, Sheila turut berdepan dengan serangan tentera siber UMNO yang galak membuat kecaman.

Nampaknya, gelombang kebangkitan golongan seniman yang tercetus sejak 2008 lalu dan kembali hangat dewasa ini memang tidak disenangi UMNO-BN.

Mungkin mereka mahu para seniman ini hanya menumpukan sepenuh masa terhadap karier tanpa peduli kepada nasib masyarakat sekeliling.

Apa pun, perkembangan artis yang semakin peduli politik dan berani ini merupakan satu fenomena positif yang patut mendapat pujian. – Roketkini.com