Berita

Siasatan polis ke atas Adun Senai langgar prinsip kebebasan bersuara Parlimen

Tindakan polis menyiasat ucapan yang dibuat Adun Senai, Wong Shu Qi pada sidang Dewan Negeri Johor baru-baru ini melanggar hak kebebasan bersuara beliau selaku wakil rakyat, kata Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Menyifatkan ia sebagai tindakan membuli, pihak polis juga didakwa melanggar prinsip kedaulatan Parlimen yang menjamin kebebasan wakil rakyat untuk menyuarakan apa sahaja isu yang melibatkan kepentingan awam di dalam dewan.

“Dalam demokrasi berparlimen Westminster yang sepatutnya diamalkan Malaysia, Parlimen atau Dewan Negeri adalah terdiri daripada raja dan perwakilan yang dipilih, yang mana lebih tinggi daripada cawangan eksekutif atau cawangan kehakiman kerajaan.

“Siasatan polis terhadap ucapan yang dibuat di dalam dewan akan mewujudkan duluan (precedent) bahaya yang melanggar hak dan keistimewaan seorang wakil rakyat yang dipilih untuk mengajukan pertanyaan dan masalah bagi pihak rakyat,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP menyeru Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun untuk mengkaji semula tindakan pihaknya terhadap Shu Qi.

“Tindakan tidak masuk akal polis itu pastinya akan dilihat oleh orang awam sebagai cubaan untuk menidakkan suara Shu Qi dan pembangkang dan untuk menutup salah laku melibatkan Datuk Khaled Nordin,” ujarnya.

Shu Qi dalam ucapannya di sidang Dewan Negeri Johor sebelum ini menggesa Khaled yang juga Menteri Besar Johor agar menjawab sama ada beliau terlibat secara langsung dalam skandal hartanah di negeri itu.

Setiausaha Publisiti DAP Johor itu merujuk dokumen rakaman percakapan membabitkan kes rasuah hartanah Exco Johor, Datuk Abd Latiff Bandi yang bocor di media sosial dan disahkan kesahihannya oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dokumen yang merakam kenyataan saksi SPRM, Amir Shariffuddin itu mendakwa Khaled menerima RM12 juta daripada Amir.

Shu Qi turut dipanggil polis untuk siasatan ke atas ucapannya itu mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Beliau dijadualkan memberi kenyataan kepada pihak berkuasa pada Jumaat ini.

Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor dalam pada itu mengulangi gesaan Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor sebelum ini agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat skandal hartanah Johor yang melibatkan Khaled dan Latiff Bandi itu. – Roketkini.com.