Berita

Kecewa dengan parti politik bukan alasan tidak peduli atau buat undi rosak

Kecewa dengan parti pemerintah atau parti-parti politik lain tidak memberi justifikasi kepada seseorang untuk merosakkan undi mereka atau mengambil sikap tidak acuh terhadap perkembangan politik semasa.

Tindakan itu hanya akan menyebabkan pemerintah Barisan Nasional (BN) ‘bergembira’ dan terus kekal memegang tampuk kuasa.

Sebaliknya, dalam masa yang sama rakyat akan terus terbelenggu dengan dasar ekonomi menindas seperti pelaksanaan cukai GST, pengurangan peruntukan kesihatan, pendidikan, pembaziran dan sebagainya.

Pendirian berkecuali atau tidak peduli itu kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dalam laporan Roketkini sebelum ini, hanya akan memberikan ‘kelegaan’ kepada parti pemerintah.

Katanya, situasi tersebut akan menyebabkan pemerintah lebih mudah untuk mengeksploitasi sesuatu keadaan dan ‘berasa lega’ dengan kesilapan yang dilakukan.

“Sebenarnya, menolak politik adalah suatu tindakan politik kerana ‘politik’ tidak dapat dipisah daripada manusia.

“Apabila tidak berpolitik, keadaan negara pula yang akan mempolitikkan dia.  Soal pekerjaan, soal harga barang, soal keselamatan, ertinya, negara perlu orang yang memimpin,” kata Mohamad.

Dalam perkembangan yang sama, Dr Ong Kian Ming berkata, kewujudan kempen media sosial untuk merosakkan undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) akan memudahkan BN untuk terus berkusa lapor portal TheMalaysianInsight hari ini.

Menurutnya, kempen yang giat berlangsung dalam media sosial berbahasa Cina itu menyasarkan kepada pengundi yang kecewa akibat kegagalan mengubah kerajaan persekutuan dalam pilihan  raya sebelum ini.

“Kami (Pakatan Harapan) menyedari kempen sebegini boleh bilangan keluar pengundi di kalangan masyarakat Cina menurun.

“Ini lebih teruk daripada merosakkan undi seseorang kerana kebanyakan orang yang bersusah payah untuk hadir membuang undi mungkin tidak akan merosakkan undi mereka,” kata Ahli Parlimen Serdang itu.

Justeru jelasnya, rakyat perlu diyakinkan bahawa setiap undi mereka adalah penting dan perbuatan merosakkan undi hanya membantu UMNO-BN kekal sebagai pemerintah. – Roketkini.com