Berita

Karikatur hina pembangkang boleh pula ya?

Berapa banyak pun pameran kartun yang ingin dibuat UMNO untuk menghentam pembangkang, itu terpulang kepada mereka, kata kartunis, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque.

Namun yang dikesalkan beliau adalah sikap gelabah dan dwi-standard UMNO apabila pameran kartunnya yang mengkritik kerajaan dan pemimpin parti Melayu itu diserang oleh juak-juak mereka.

“Mesej saya kepada UMNO. Teruskan, buat seberapa banyak pameran kartun yang kamu mahu.

“Tetapi di sini saya ada persoalan, mengapa bila saya melakukan pameran serupa dengan subjek berbeza di Pulau Pinang, UMNO datang dan menyerang saya?

“Betul-betul tak ada maruah dan tak ada malu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas pameran kartun UMNO yang bertemakan anti-DAP yang dipamerkan Biro Maklumat parti itu di tingkat bawah PWTC bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang sedang berlangsung.

Pada November lepas, pameran solo karya Zunar di Komtar, Pulau Pinang diserang sekumpulan samseng UMNO.

Dalam serangan tersebut, dua karya telah dirosakkan oleh samseng terbabit sehingga memaksa Zunar meminta bantuan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keadaan.

Zunar dalam pada itu turut mempersoalkan sikap dwi-standard pihak berkuasa terhadap pameran yang dianjurkan beliau dan aktivis, Fahmi Reza.

“Bila saya dan Fahmi Reza buat pameran, kamu (polis) datang tangkap kami mengikut akta hasutan dan multimedia. Tetapi membisu bila UMNO yang buat.

“Saya bukan minta supaya polis menahan kartunis UMNO. Tetapi mengapa ada sikap dwi-standard dalam keadaan ini?” soalnya. – Roketkini.com