Berita

Kaedah penggunaan buku teks import Bahasa Inggeris timbulkan tanda tanya

Haru-biru nampaknya rancangan kerajaan UMNO-BN untuk menukar buku teks KSSR dan KSSM Bahasa Inggeris kepada buku teks yang diimport dari negara luar bagi kegunaan murid tahun satu dan tingkatan satu bermula tahun hadapan.

Sudahlah bukunya empat kali ganda lebih mahal daripada buku teks sebelum ini, pembelian buku-buku import itu oleh kerajaan juga tidak melalui tender terbuka sekaligus boleh dipersoal ketelusannya.

Keputusan terburu-buru untuk menukar bahan pembelajaran itu disampaikan Kementerian Pendidikan (MOE) dalam pekeliling bertarikh 16 Ogos dan 12 September ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.

Murid tahun satu dan dua akan menggunakan buku ‘Super Mind’ manakala bagi tingkatan satu dan dua akan menggunakan buku ‘Pulse 2’.

Apa yang membangkitkan tanda tanya, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, adalah kaedah penggunaan bahan pembelajaran tersebut yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

“Buku berkenaan akan dibahagikan kepada dua bahagian, murid tahun satu akan diajar dari bab 1 hingga 4 manakala murid tahun dua akan diajar bab 5 hingga 9.

“Bagi murid tingkatan satu pula, mereka akan diajar bab 1 hingga 5 (daripada buku ‘Pulse 2’) manakala tingkatan dua pula diajar bab 6 hingga 9.

“Kaedah ini tidak masuk akal langsung. Buku teks yang sememangnya direka untuk diajar bagi sesi akademik sepanjang tahun dibahagikan pula untuk dua tahun.

“MOE perlu jelaskan rasional di sebalik kaedah tersebut, kerana tidak jelas bagaimana tahap penguasaan Bahasa Inggeris murid dapat ditingkatkan dengan hanya belajar beberapa bab daripada buku tersebut dalam tempoh setahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairil turut mempersoalkan sama ada murid-murid berkenaan akan menggunakan kaedah dan dasar yang sama selepas menganjak ke darjah tiga atau tingkatan tiga.

“Sangat penting untuk MOE mengumumkan segera pelan jangka panjang mereka untuk murid-murid berkenaan dengan penggunaan buku teks import yang baru ini.

“Semakin banyak ketidakpastian, semakin bercelaru guru dan murid dan ini hanya akan membawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan kepada masa depan negara,” tegasnya yang juga Jurucakap Parlimen DAP untuk Pendidikan, Sains dan Teknologi. – Roketkini.com