Berita

Kuota wanita 30% di Dewan Negara sekadar silap mata menuju pilihanraya

Perdana Menteri Datuk Seri Najib menabur lagi janji kepada golongan wanita dengan menawarkan kedudukan yang lebih istimewa bagi memperkukuhkan perwakilan golongan itu dalam sektor politik.

Janji itu dibuat ketika beliau berucap dalam Persidangan Wanita dan Politik 2017 di ibu negara hari ini.

Menurut Najib, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menaikkan kuota wanita dalam Dewan Negara kepada 30 peratus sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat kukuh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kenyataan Najib itu bagaimana pun mendapat reaksi sinis Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh yang dimuat naik dalam satu kenyataan di laman facebooknya.

Kata Hannah, apa yang dijanjikan Perdana Menteri itu sekadar bermain ‘trik magik’ kerana sekiranya Najib jujur memperkasakan wanita, beliau boleh melaksanakannya sekarang tanpa menabur janji sedemikian.

“Pastikan ada 30 peratus wanita dalam Kabinet, tak perlu tunggu menang PRU14 pun boleh laksanakan,” katanya mengambil contoh barisan Exco di Selangor yang diisi 40 peratus golongan wanita.

Keduanya, Hannah mencadangkan supaya UMNO sendiri mempertuntukkan 30 peratus kerusi kepada Wanita UMNO dalam PRU14.

“Sekali lagi, ini pun di bawah kawalan beliau. Tak perlu menang besar untuk laksanakan,” katanya.

Adun Subang Jaya itu berkata, DAP telah pun melaksanakan kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam pengagihan kerusi di Selangor sejak PRU13 lalu.

Ucapan Najib dalam persidangan tersebut katanya adalah amat memalukan. – Roketkini.com