Berita

Najib perlu lantang bantah Baitulmaqdis jadi ibu negara Israel di depan Trump

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa supaya berani dan lantang membantah keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J.Trump ekoran tindakannya mengiktiraf dan mahu memindahkan kedutaan Amerika Syarikat (AS) dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata Najib tidak boleh terus membisu meskipun Wisma Putra telah mengeluarkan kenyataan mendesak AS mempertimbangkan semula keputusan presidennya itu.

“Beliau sendiri perlu mengemukakan bantahan keras Malaysia terhadap tindakan tidak bertanggungjawab tersebut terus kepada Presiden Trump yang diuar-uarkan sebagai rakan baik beliau.

“Perdana Menteri Najib Razak harus bersuara di hadapan Presiden Trump sebagaimana yang pernah dilakukan untuk masyarakat Rohingya dahulu,” kata Steven dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, isu terbabit tidak boleh dipandang ringan dan sekadar dijadikan retorik kerana ia akan mengancam proses rundingan damai di Timur Tengah sekaligus mampu mencetuskan keganasan global dan menjejaskan Malaysia.

“Jika isu ini dibiarkan untuk berlanjutan dan krisis di Timur Tengah bertambah buruk, Malaysia berpotensi menjadi medan aktiviti keganasan.

“Langkah tersebut bukan sahaja bersifat unilateral (satu pihak) dalam proses keamanan di Timur Tengah, sekaligus mengancam proses tersebut, malah berpotensi memberi alasan kepada kumpulan pelampau untuk mencetuskan keganasan global yang mampu merebak sehingga ke rantau Asia Tenggara, termasuk di Malaysia,” katanya.

Steven menegaskan, sebarang keputusan berkaitan konflik Israel-Palestin perlu dibuat secara cermat melalui perundingan masyarakat antarabangsa dan bukan melalui tindakan unilateral seperti yang dilakukan oleh Presiden Trump. – Roketkini.com