Berita

Najib patut tunjukkan ketegasan, batalkan pembelian pesawat Amerika

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menarik balik komitmennya untuk ‘memperkukuhkan ekonomi Amerika jika benar-benar serius menentang keputusan Presiden Donald J.Trump memindahkan kedutaannya di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Ia boleh dilakukan dengan menarik balik komitmen pelaburan dan pembelian pesawat yang bernilai lebih US$10 bilion sebagaimana yang dizahirkan Najib kepada Trump ketika lawatannya ke Rumah Putih September lalu kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji.

“Perdana Menteri bukan hanya perlu nyatakan pendirian tapi perlu bertegas dengan menarik balik komitmennya kepada Presiden Amerika sebelum ini untuk memperkukuhkan ekonomi negara itu,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Menurutnya, tindakan itu adalah penting sebagai menyatakan ketegasan Malaysia terhadap proses damai di Timur Tengah dan bagi mengelakkan tercetusnya krisis kemanusiaan dan keganasan global.

“Malaysia sebagai negara penting Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang sebelum ini lantang mengutuk perluasan kuasa Israel di Palestin harus berani bertindak sebelum apa-apa konflik besar meletus,” katanya lagi.

Tanpa menarik balik komitmen pelaburan itu katanya, seolah-olah setiap kemusnahan dan kematian yang berlaku di Baitulmaqdis jika berlaku peperangan melibatkan wang rakyat Malaysia.

“Kita sebagai rakyat Malaysia khususnya umat Islam tidak akan reda dan bersubahat,” katanya lagi.

Najib ketika lawatannya ke Amerika pada September lalu telah berjanji kepada Trump untuk mengukuhkan ekonomi negara tersebut melalui pelaburan dan pembelian pesawat.

“Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan.

“Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi Amerika,” kata Najib mewakili delegasi Malaysia kepada Trump.

Menurutnya, kerajaan dijangka melabur antara US$3 bilion dan US$4 bilion melalui KWSP di negara itu tersebut selain berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing.

“Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat,” kata Najib kepada Trump. – Roketkini.com