Berita

Pijak gambar kena tangkap, bakar patung tak apa pula?

Adakah Datuk Seri Jamal Md Yunos begitu kebal daripada tindakan pihak berkuasa sehingga beliau berani melakukan gimik membakar patung seorang bekas menteri?

Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu beberapa hari lepas di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bertindak membakar patung Datuk Zaid Ibrahim.

Namun, yang menjadi persoalan mengapa tidak ada sebarang tindakan terhadap aksi yang dilakukan ketua samseng Baju Merah itu?

Sedangkan pihak polis pantas pula menawarkan habuan bagi mencari dua individu yang didakwa memijak gambar Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan Bersih 4.

Seorang lelaki berusia 21 tahun dan wanita berusia 14 tahun kemudiannya ditangkap dan digari, walaupun mereka menyerah diri secara baik.

“Jadi sekarang saya mahu tahu, berapakah ganjaran yang akan ditawarkan oleh pihak polis dan berapa hari Jamal serta budak-budaknya akan ditahan di dalam lokap, ekoran tindakan membakar patung Zaid Ibrahim itu?

“Atau adakah tindakan memijak gambar dikira tidak okay, tetapi membakar patung boleh pula?” demikian soal Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam kenyataannya, hari ini.

Menurut Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu, politik matang tidak akan menerima aksi membakar patung sebegitu, justeru wajar dikecam kepimpinan Barisan Nasional (BN).

“Sekiranya tidak ada pemimpin BN yang mengecam tindakan Jamal, dan tiada tindakan dari pihak polis untuk aksinya mengintimidasi Zaid Ibrahim, yang merupakan seorang ahli politik pembangkang.

“Adakah ini akan memberi isyarat bahawa akan lebih banyak patung pemimpin pembangkang dibakar dan diaibkan sepanjang PAU sehingga selesai Pilihan Raya Umum ke-14?” soalnya. – Roketkini.com