Berita

Bukan kerja Amerika pelihara kepentingan Israel, kata DAP

Penyelesaian dua negara antara Palestin dan Israel bakal terkubur jika Amerika tetap berdegil mahu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya ke wilayah konflik itu, kata biro antarabangsa DAP dalam kenyataan.

Kenyataan itu berkata, tindakan Amerika berkenaan akan mengakibatkan kesan buruk kepada kedua-dua negara terbabit, selain membuka ruang kepada penindasan serta pencerobohan yang lebih dahsyat tentera Israel ke atas rakyat Palestin dan negara mereka.

“Kami menggesa pentadbiran Amerika agar dengan teliti memikirkan kembali kesan yang bakal berlaku jika langkah ini diambil, mengambil kira juga imej, kepentingan dan keselamatan negaranya.

“Peranan kerajaan Amerika adalah untuk menjaga dan memelihara kepentingan rakyat Amerika, bukan kerajaan Israel,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching dan Setiausaha Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY), Howard Lee.

Penyelesaian dua negara adalah usaha untuk memastikan Palestin yang merdeka wujud secara aman di samping negara Israel.

Bagaimanapun usaha itu bakal menemui kegagalan susulan tindakan Presiden Amerika, Donald Trump awal pagi semalam mengiktiraf Baitulmaqdis yang merupakan tanah suci bagi umat Islam, Kristian dan Yahudi sebagai ibu negara Israel.

Beliau turut mengarahkan Kedutaan Amerika di Israel supaya dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Sebagai tindak balas, pergerakan Hamas melancarkan intifada.

Dalam perkembangan lain, lebih 100 penyokong termasuk pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) awal pagi ini berkumpul dan menghantar memorandum ke Kedutaan Amerika di Malaysia sebagai tanda bantahan terhadap keputusan Trump.

Antara pemimpin DAP yang turut hadir bagi menyatakan sokongan adalah Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer.

Dalam reaksinya, Lip Eng ketika dihubungi menyifatkan tindakan Amerika yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sebagai membelakangi peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Amerika sepatutnya mengikut ketetapan yang telah dipersetujui oleh PBB yang mana Baitulmaqdis tidak boleh diumumkan menjadi ibu kota Israel tanpa persetujuan ahli-ahli PBB.

“Malah, pengumuman presiden Amerika ini cukup melampau dan akan menjejaskan kehormonian di rantau Timur Tengah,” katanya yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Shakir berkata, tindakan Trump itu tidak akan memberi manfaat kepada dunia, sebaliknya menyukarkan inisiatif keamanan di Timur Tengah dan menambah konflik sedia ada antara dua negara bergolak itu.

“Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak rasa presiden Trump adalah ‘kawan baik’ beliau, beliau patut memberitahu kepada Trump pendirian Malaysia dan negara Islam untuk menarik balik keputusan tersebut demi keamanan dunia.

“Saya juga menyeru agar diadakan sidang Parlimen khas berkenan isu ini supaya pendirian bipartisan dapat dicapai untuk membantah tindakan presiden Amerika,” katanya. – Roketkini.com