Berita

DAP gesa kerajaan jalankan operasi besar-besaran banteras susu tiruan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) digesa memperluaskan lagi operasinya ekoran rampasan lebih 200 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan baru-baru ini.

Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata, ‘susu palsu’ tersebut mengancam kesihatan bayi dan operasi perlulah diperluaskan secepat mungkin.

“Kerajaan wajib memperluaskan lagi kawasan operasi mereka tanpa melengahkan masa.

“Pihak polis juga perlu terlibat agar dalang di sebalik sindiket ini dapat di tangkap dengan secepat yang mungkin.

“Saya harap pihak berkenaan tidak meletakkan kesihatan bayi-bayi di dalam keadaan yang terancam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media melaporkan sebanyak 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan berjaya dirampas dalam lima operasi serbuan di sekitar Johor Bahru Khamis lalu berjumlah kira-kira RM42,000.

Ia berikutan kes seorang bayi yang dilaporkan mengalami muntah-muntah teruk selepas menggunakan susu terbabit.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor Khairul Anwar Bachok, operasi itu dijalankan di lima premis kedai ubat-ubatan dan kedai serbaneka hasil risikan dan pemantauan pengadu yang merupakan pengeluar susu sebenar. – Roketkini.com