Berita

HARAPAN anjur himpunan pertahan Baitulmaqdis Jumaat ini

Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama diseru menyertai himpunan membantah keputusan Amerika Syarikat yang akan berlangsung Jumaat ini selepas waktu solat di hadapan kedutaan negara itu di Jalan Tun Razak.

Ia sebagai reaksi terhadap keputusan Presiden Amerika, Donald Trump yang mahu memindahkan kedutaan negara itu di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam sidang media hari ini berkata, himpunan tersebut merupakan penegasan HARAPAN membantah dan mengutuk pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Keputusan sepihak Trump itu jelas tidak membantu usaha damai konflik panjang di rantau Asia Barat khususnya di Palestin.

“Sebaliknya, lebih merumitkan lagi keadaan sekali gus menyalakan api kemarahan dan reaksi bantahan masyarakat dunia,” kata kenyataan itu.

HARAPAN berpandangan, campur tangan Trump ke atas wilayah Palestin itu melampaui batas dan dilakukan demi survival politiknya menjelang Pilihan Raya Separuh Penggal Amerika.

“Tindakan Amerika ini telah pun dibantah oleh Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv,” katanya.

Hadir dalam sidang media hari ini ialah pemimpin HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mohamad Sabu, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Gobind Singh Deo, Liew Chin Tong dan ramai lagi. – Roketkini.com