Berita

Rakyat Sabah tidak percaya janji manis Najib Razak

Kerajaan perlu mengusulkan beberapa pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan pada sidang Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memenuhi segala janjinya terhadap Sabah dan Sarawak kata Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin.

“Kami tak percaya janji manis semata-mata. Beliau (Najib) tidak boleh anggap hanya dengan janji sebegitu orang Sabah akan puas hati.

“DAP Sabah mendesak kerajaan mengembalikan hak-hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum PRU14 yang dijangka sekitar April atau Mei 2018,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk ucapan penutup Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 minggu lalu yang berjanji akan mengembalikan hak Sabah dan Sarawak sekiranya ‘terambil’.

Menurut Adun Sri Tanjung itu, cadangan pindaan tersebut bukanlah perkara baru dan telah diusulkan dua kali oleh Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong pada tahun 2016 namun ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin.

Usul pindaan yang dibawakan Wong sebelum ini bertujuan bagi pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1976 yang telah memberi kesan terhadap status dua wilayah Borneo ini.

Akibatnya Sabah dan Sarawak diturun taraf menjadi satu daripada 13 buah negeri dalam Malaysia.

Jelasnya, perubahan dalam perkataan dari tiga kategori negeri-negeri di Malaysia (Negeri-negeri Malaya, Negeri-negeri Borneo dan Singapura) kepada satu kenyataan merangkumi semua menggambarkan tidak wujud perbezaan dengan negeri-negeri terbabit.

DAP Sabah juga katanya mahu supaya definisi “Hari Malaysia” dimasukkan dalam Artikel 160(2).

“Amat memalukan sehingga sekarang, lebih lima dekad selepas pembentukan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan masih tidak memiliki definisi Hari Malaysia,” ujar beliau.

Ini termasuk pindaan terhadap terma “Persekutuan” dengan memadamkan ‘definisi Persekutuan’ yang dilihat meminggirkan Sabah dan Sarawak apabila menyatakan satu-satunya Persekutuan yang diiktiraf Perlembagaan Malausia hanyalah Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Justeru, perkara tersebut katanya haruslah dipinda dan diperbetulkan dengan segera bagi menutup segala keraguan dan isu yang timbul.

“Kami percaya pindaan-pindaan ini tidak memerlukan kerja yang terlalu rumit demi mengembalikan semangat MA63.

“Jika Najib tidak tahu melakukannya, kami DAP Sabah sedia membantu,” katanya lagi. – Roketkini.com