Berita

Saya sedia dihukum dan dihina demi rakyat – Lim Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng rela dihukum dan dihina demi membantu dan menyelamatkan rakyat negeri itu yang dalam kesusahan ditimpa bencana.

Beliau mengulas sindiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein Onn terhadap tindakannya meminta bantuan Kerajaan Persekutuan ketika Pulau Pinang dilanda ribut dan banjir November lalu.

“Sekiranya dengan berbuat demikian adalah salah dan memalukan, maka saya bersedia untuk dihukum dan dihina, kerana saya bersedia untuk melakukan perkara yang sama sekali lagi apabila perlu untuk membantu dan menyelamatkan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menceritakan semula detik itu, Guan Eng berkata beliau telah membuat siaran secara langsung di akaun Facebooknya pada jam 3.30 pagi pada pagi 5 November, selepas membuat panggilan telefon kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana menjawab panggilan saya pada jam 3.30 pagi dan menghantar angkatan tentera untuk membantu.

“Untuk Hishammuddin menyatakan sebaliknya adalah tidak benar kerana bantuan tentera hanya bergerak sepenuhnya selepas saya membuat panggilan kecemasan kepada Timbalan Perdana Menteri.

“Angkatan tentera tidak menerima arahan daripada Kerajaan Negeri, tetapi hanya Kerajaan Persekutuan. Saya berharap Perdana Menteri dan Hishamuddin akan menjawab panggilan saya pada jam 3.30 pagi sekiranya berlaku perkara yang sama,” katanya.

Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri telah melakukan segala yang terdaya dan tidak segan untuk mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Timbalan Perdana Menteri untuk menghantar angkatan tentera bagi memberi bantuan kerja-kerja menyelamatkan mangsa banjir. – Roketkini.com

Foto: Bulletin Mutiara