Serangan keterlaluan UMNO terhadap DAP menerusi pembohongan, ugutan dan fakta palsu dalam perhimpunan agungnya minggu lalu menunjukkan parti itu terdesak dan jelas menunjukkan gejala-gejala bakal tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Lebih membimbangkan, individu yang turut mengeluarkan kata-kata nista itu merupakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri dengan ungkapan berbaur ‘ugutan’ dan kebencian.
“Masa hadapan Malaysia akan dirompak oleh perasuah, kroni dan mereka yang menyokong GST sekiranya BN berjaya memenanginya tanpa maruah berdasarkan penipuan, rasuah, ketakutan, kebencian dan ugutan, ” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Katanya, pemimpin UMNO-BN akan terus menghasut kebencian berdasarkan agama dan bangsa dengan bermodalkan panggilan seperti ‘Cina DAP’ demi memenangi pilihan raya umum akan datang.
“Ini merupakan kali pertama UMNO menyerang DAP dengan menggunakan perkataan ‘Cina’, iaitu politik perkauman yang dahsyat yang secara tidak langsung menyerang komuniti Cina.”
Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut membidas kenyataan Najib yang mendakwa jika pembangkang menang, kononnya ‘hak istimewa orang Melayu, sebagai orang asal tanah ini, daripada bangsa yang mulia dan bebas, akan dipijak maruah dan mereka (kedudukan) akan tergadai. Paling teruk, mereka akan merempat, disumpah dan dihina, sehingga mereka terbangsat di tanah sendiri.’
Bohong terang-terangan
Kenyataan Presiden UMNO itu katanya merupakan pembohongan terang-terangan kerana tidak ada rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu akan menjadi ‘bangsat’ sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) menang.
Kemenangan HARAPAN sebaliknya ujar Guan Eng akan memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat negara ini yang lebih bebas daripada gejala rasuah, kronisme dan cukai GST.
“Pendirian Pakatan adalah GST harus dihapuskan kerana GST memberikan kesulitan kepada rakyat. Kerajaan Persekutuan dijangka mengumpul RM40 bilion di mana RM40 bilion kurang dibelanjakan untuk rakyat,” katanya.
Guan Eng berkata, sejak tahun 2015, Pulau Pinang telah membayar sebanyak RM5,561.2 juta kutipan GST kepada pusat.
“Sekiranya Kerajaan Persekutuan BN berdegil dan enggan menghapuskan GST, maka jalan alternatif ialah menukar kerajaan.
“Tetapi dalam masa yang sama, Kerajaan Persekutuan harus memulangkan sebahagian kutipan wang GST kepada negeri-negeri berkaitan kerana beban kewangan yang besar telah dikenakan apabila banyak wang telah disedut daripada poket rakyat biasa,” katanya lagi. – Roketkini.com
Kredit foto: TV14