Kerajaan harus mencari jalan lain bagi mengatasi masalah lambakan hartanah tidak terjual di negara ini, khususnya di ibu kota.
Ini kerana, menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, langkah yang diputuskan Kabinet sebelum ini dilihat tidak berkesan kerana tidak diendah agensi pelaksana.
Kabinet pada November lepas membekukan sementara semua projek hartanah bernilai RM1 juta ke atas melibatkan kediaman kondominium, pusat beli-belah dan ruang pejabat.
Namun, menurut Tony, arahan badan eksekutif itu tidak diendahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Susulan pertemuan dengan Datuk Bandar DBKL, Tan Sri Mohamad Amin Nordin, rakan-rakan sejawat Parlimen mendedahkan semalam bahawa DBKL tidak akan melaksanakan pengumuman pembekuan projek hartanah melebihi RM1 juta itu.
“Menurut Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, Datuk Bandar DBKL berkata larangan tersebut tidak akan dilaksanakan di Segi Tiga Emas kerana tidak praktikal,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Segi Tiga Emas Kuala Lumpur meliputi beberapa kawasan komersial antaranya Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).
Arahan pembekuan tersebut dibuat Kabinet susulan amaran Bank Negara mengenai ketidakseimbangan penawaran dan permintaan hartanah di negara ini.
Laporan Bank Negara mendapati ruang komersial yang tidak dihuni meningkat dari 20.9 peratus pada suku pertama tahun 2015 kepada 23.6 peratus pada suku pertama 2017.
Situasi itu dijangka kian memburuk dengan pertambahan 38 juta kaki persegi ruang pejabat yang bakal dibina di negara ini.
Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, kedegilan DBKL melanggar arahan kerajaan menunjukkan Kabinet kini hilang taringnya.
“Ini disebabkan oleh ketidakberdayaan Kabinet, sehinggakan apa jua dasar yang diputuskan – tidak kira baik atau buruk – adalah lemah, dan tidak diendahkan oleh agensi-agensi pelaksana,” ujarnya. – Roketkini.com