Berita

Ahli Majlis tepis dakwaan negatif sistem laluan sehala di PJ

Kredit foto: Facebook Ir Lee Suet Sen

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran tidak wajar dipersalahkan di atas keputusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menggunakan sistem laluan sehala di Petaling Jaya.

Ini kerana, menurut bekas Ahli Majlis MBPJ, Ir Lee Suet Sen, keputusan berkenaan tidak melibatkan Rajiv sebaliknya diputuskan Ahli Majlis dan Datuk Bandar secara bersama dalam mesyuarat.

“Adun berkenaan tidak terlibat dalam sebarang kelulusan pelan oleh MBPJ,” tegasnya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook miliknya.

Beliau mengulas tulisan seorang bekas Ahli Majlis MBPJ yang mempersalahkan Rajiv susulan keputusan MBPJ untuk menggunakan sistem laluan sehala di pusat bandaraya itu.

Mak Khuin Weng dalam ruang pendapat di laman portal Malaymail Online mendakwa sistem berkenaan mengundang reaksi negatif penduduk dan mengakibatkan 1,450 kes kemalangan.

Beliau turut menuduh MPBJ kononnya tidak merangka pelan pembangunan dan tidak melakukan audit keselamatan sebelum melaksanakan sistem tersebut di PJ.

Namun, menurut Suet Sen, pelan sistem laluan sehala berkenaan sebenarnya telah melalui kajian intensif sejak 2013 dan selepas pelaksanaannya.

Malah katanya lagi, MBPJ turut bekerjasama rapat dengan audit keselamatan berhubung reka bentuk sistem tersebut.

“Rajiv sangat teliti dalam projek sistem laluan sehala dan sering memberi maklum balas kepada Ahli Majlis dan Datuk Bandar.

“Bagi saya beliau telah melakukan tugasnya sebagai Adun dalam memastikan projek berkenaan memberi manfaat kepada semua pihak,” ujarnya.

Mengenai angka kemalangan yang dibangkitkan Khuin Weng, beliau bagaimanapun amat meraguinya dan menyerahkan kepada MBPJ untuk menyiasat dakwaan itu.

“Saya percaya yang sistem laluan sehala ini telah mengurangkan masalah lalu lintas sepertimana objektif reka bentuk sistem tersebut,” tambahnya. – Roketkini.com