Berita

HARAPAN lancar Pek DIY kempen gempur propaganda UMNO-BN

Seiring perkembangan dunia maya, Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini melancarkan ‘Pek DIY Kempen pilihanraya PH’ sebagai medium menyampaikan maklumat dengan mudah, cepat dan murah.

Pek DIY ini mengandungi risalah, poster dan stiker yang direka khas untuk dicetak sendiri secara percuma.

Selain itu, ia juga menampilkan pelbagai video kempen HARAPAN termasuk panduan mengundi yang boleh dimuat turun dan disebarkan kepada sesiapa jua melalui facebook, twitter dan instagram

Pek DIY istimewa ini telah dilancarkan oleh Majlis Presiden HARAPAN di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebentar tadi diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pilihanraya HARAPAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, media sosial mempunyai sifat yang lebih interaktif berbanding media tradisional.

“Melalui media sosial, kita dapat secara langsung berinteraksi dengan rakyat dan berkongsi maklumat dengan cepat,” katanya melancarkan pek DIY tersebut.

Berdasarkan kajian penggunaan internet, seramai 22 juta iaitu 71 peratus daripada 31 juta rakyat negara ini adalah pengguna internet.

“Ini satu peluang terbaik Pakatan Harapan menyampaikan maklumat kepada rakyat melalui media sosial bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14,” kata beliau.

Pek DIY kempen pilihanraya HARAPAN boleh dimuat turun melalui laman web pakatanharapan.com.my atau googledrivebit.ly/DIYKempenPH . – Roketkini.com