Berita

Lebih 72 jam bergelap: HARAPAN Johor gesa siasat, beri pampasan kepada mangsa

Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor menggesa supaya jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian gangguan bekalan elektrik selama lebih 10 jam di beberapa lokasi perumahan dan pusat membeli belah di Johor Bahru pada 12 Disember lalu.

Siasatan itu, kata HARAPAN Johor, bertujuan memastikan kejadian sama tidak berulang lagi.

“Laporan siasatan hendaklah boleh diakses oleh orang awam untuk mengembalikan keyakinan orang ramai serta pelabur asing,” tegas gabungan pembangkang itu dalam kenyataan, hari ini.

Menurut HARAPAN Johor, kawasan sekitar Taman Bukit Indah termasuk Country Garden, Paradigm Mall, Horizon Hill, Taman Sutera Utama, Nusa Idaman, sebahagian Taman Ungku Tun Aminah dan sebahagian Taman Perling terputus bekalan elektrik selama 10 jam.

Ia sekaligus mencatatkan rekod tempoh gangguan bekalan elektrik paling lama di Semenanjung Malaysia sejak 1996.

Sementara itu, pusat membeli belah Aeon Bukit Indah mengalami gangguan elektrik selama lebih 72 jam.

“Untuk rekod, kawasan yang terlibat adalah terletak dalam lingkungan Iskandar Malaysia yang kita sedia maklum sedang pesat membangun.

“Ia merupakan kawasan penting melibatkan ribuan peniaga di pelbagai lapangan perniagaan tempatan dan juga pelaburan luar negara

“Gangguan bekalan elektrik yang berlaku bukan sahaja membawa kerugian kepada rakyat kita, malah telah menjejaskan keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di sini,” ujarnya.

Sehubungan itu, HARAPAN Johor mendesak agar kerajaan memberikan pampasan kepada pihak yang terjejas akibat kejadian tersebut.

“Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melalui Suruhanjaya Tenaga yang merupakan pemantau kepada syarikat pembekal elektrik di Malaysia perlu menjadi orang tengah dalam urusan pemberian pampasan lantaran kerugian dialami oleh pelbagai pihak akibat gangguan bekalan elektrik ini,” katanya.

HARAPAN Johor turut memaklumkan bahawa sehingga kini Menteri KeTTHA, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili tidak menyentuh mengenai pemberian pampasan.

“Pakatan Harapan Johor juga mendesak agar beliau bertindak segera sebagai tanda kebertanggungjawaban atas insiden yang berlaku.

“Kegagalan beliau memberi respon terhadap isu ini hanyalah akan mempamerkan kelemahan urus selia pembekalan elektrik oleh pihak Kerajaan dan memberi gambaran yang negatif di mata rakyat terbanyak,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi HARAPAN Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi PPBM Johor, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong. – Roketkini.com