Berita

20 tahun selepas peristiwa Ribut Greg, tiada langkah tangani kemusnahan hutan Keningau

Peristiwa Ribut Greg dan banjir lumpur pada 26 Disember 1996 yang meragut banyak nyawa dan harta-benda masih jelas terbayang di mata.

Kini sekali lagi Keningau dilanda musibah yang hampir serupa. Kali ini, bencana telah menghanyutkan 10 buah rumah hanyut dan juga kenderaan di Kampung Pampang dan Kampung Durok, Keningau.

Apa yang terus menimbulkan persoalan ialah, meski 20 tahun telah berlalu, nampaknya tidak ada tindakan drastik pihak berwajib bagi menangani bencana itu dengan baik.

Menurut Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili, antara sebab yang menjadi punca berlakunya banjir lumpur ialah akibat kemusnahan kawasan hutan dan bukit akibat penerokaan tanpa kawalan.

“Penerokaan tanah yang berleluasa tanpa mematuhi garis panduan oleh Jabatan Alam Sekitar boleh menyebabkan ekosistem hutan terganggu.

“Apabila ekosistem hutan terganggu, sekaligus kawasan tadahan air turut rosak dan mengakibatkan larian air deras yang turut membawa lumpur bersama”, katanya ketika mengadakan lawatan ke kawasan terjejas.

Beliau dalam masa yang sama menggesa supaya kerja-kerja penerokaan tanah di kawasan lereng bukit di Banjaran Crocker dihentikan dengan kadar segera.

Selain itu, pembinaan benteng konkrit dan pedalaman sungai juga amat penting bagi memastikan air sungai tidak bertambah melebar dan melimpah.

“Apa yang berlaku, air sungai melimpah dari aliran sepatutnya. Ini disebabkan kerana sungai terlalu cetek. Jadi kita mencadangkan supaya kerajaan menjalankan kerja-kerja pedalaman sungai bagi menampung air yang banyak khususnya di musim hujan,” katanya lagi.

Kerajaan juga digesa agar menguatkuasakan undang-undang melarang pembinaan rumah kediaman di tepi sungai dan bukan hanya setakat melarang secara ‘literal’ sahaja. – Roketkini.com