Berita

Adun Nilai hadir beri sokongan kepada Cikgu Azizan

Adun Nilai, Arul Kumar Jambunathan hadir ke Mahkamah Majistret Seremban awal pagi semalam bagi menyatakan solidariti terhadap seorang guru Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Azizan Manap yang dituduh menampar muridnya pada Oktober lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman memutuskan Azizan dilepaskan tanpa dibebaskan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan kes berkenaan.

Arul turut sempat berkongsi kegembiraan di atas keputusan tersebut dalam catatan di laman Facebook miliknya.

Beliau berkata, guru sebagai seorang pendidik memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin seseorang murid.

“Kalau tegas dan memberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan, tidak perlulah mengheret guru ke mahkamah dengan niat untuk menghukum balik,” ujarnya yang juga Setiausaha Organisasi DAP Negeri Sembilan.

Arul turut memuat naik beberapa keping gambar bersama Azizan dan ratusan penyokongnya yang sejak awal pagi semalam berkumpul di perkarangan mahkamah.

31 Oktober lepas, Azizan atau dikenali sebagai Cikgu Azizan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan oleh mahkamah atas pertuduhan menceradakan muridnya dengan sengaja di hadapan tapak perhimpunan sekolah pada 6 April lalu.

Guru berusia 44 tahun itu didakwa menampar pipi kiri seorang murid Tahun Lima yang didakwa mengulangi kesalahan disiplin berat termasuk ponteng kelas, menghidu gam dan membuli pelajar lain di sekolah. – Roketkini.com