Berita

Kit Siang selamat jalani pembedahan, beransur pulih

Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Sdr Lim Kit Siang telah menjalani pembedahan pada 19 Disember 2017 untuk membuang tumor kecil pada buah pinggang kirinya. Prosedur laparoscopic partial nephrectomy itu berlangsung dengan baik dan doktor menjangkakan beliau akan kembali pulih seperti sedia kala tanpa sebarang komplikasi.

Tumor kecil ini mujur ditemui ketika pemeriksaan kesihatan berkala ke atas Sdr lim. Ujian biopsi ke atas tumor yang telah dibuang ini mendapati bahawa ia adalah kanser tahap pertama (Stage 1a), kanser tahap paling rendah. Doktor juga menjangkakan beliau pulih sepenuhnya.

Sdr Lim sedang beransur sembuh daripada pembedahan dan telah mula bersiar meregangkan kaki.

Sepanjang tempoh pemulihan, urusan kawasan di Gelang Patah akan dikendalikan wakil khas beliau Sdri Ng Siam Luang dan pejabat parlimen DAP Gelang Patah. Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Parlimen Kluang, Sdr Liew Chin Tong akan membantu menyelia kerja-kerja kawasan sepanjang ketiadaan Sdr Lim.

Pihak keluarga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak dan amat berterima kasih sekiranya Sdr Lim diberi ruang waktu untuk sembuh dan pulih, agar beliau dapat kembali beraksi secepat mungkin.

*Kenyataan media oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada hari Rabu 27 Disember 2017 di Kuala Lumpur.