Yang pastinya negara kita akan menyaksikan pertembungan besar antara dua gagasan kuasa politik dalam pilihan raya umum tahun ini. Kita sudah melangkah ke tahun baru hari ini. Tahun ini adalah tahun pilihan raya. Suka ataupun tidak, pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini.
Pilihan raya umum ke 13 telah diadakan pada 5 Mei 2013. Oleh yang demikian, tahun ini Dewan Rakyat akan mencapai usia genap lima tahun. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya wajib diadakan setiap lima tahun sekali. Ini bermaksud kita sudah pun sampai ke ambang pilihan raya.
Seluruh rakyat Malaysia malah warga antarabangsa juga turut menunggu untuk melihat pilihan raya yang bakal kita hadapi. Pilihan raya kali ini adalah yang paling sensasi kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kuncu-kuncunya daripada Barisan Nasional akan ditentang oleh Pakatan Harapan yang diketuai oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.
Satu kumpulan sedang berusaha untuk mempertahankan kerajaan kleptokrasi. Manakala satu kumpulan lagi bertungkus-lumus untuk menjatuhkan kerajaan sekarang dan menubuhkan kerajaan baru di Putrajaya. Siapakah yang akan menang akan ditentukan oleh rakyat jelata yang bakal keluar mengundi pada PRU14 nanti.
Bukan mudah untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat yang akan menggunakan segala kekuatan dan wang untuk membeli undi. Tambahan pula, permainan politik perkauman akan memuncak kali ini. Jentera kerajaan pula akan dikerah sepenuhnya. SPR yang berada dalam cengkaman kerajaan akan diperalatkan secara maksima untuk melakukan segala tipu muslihat.
Pembangkang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan dalam menghadapi PRU14. Yang penting, Pakatan Harapan harus bersedia zahir dan batin untuk bertarung di atas pentas yang tidak sama rata. Inilah sistem yang wujud di negara kita. Undang-undang pilihanraya dimanipulasikan untuk menjamin kemenangan pihak kerajaan. Keadilan pilihan raya diketepikan kerana SPR tidak pernah bertindak sebagai badan bebas yang neutral.
Walau apa sekali pun, jika rakyat bangkit untuk perubahan, tiada kuasa boleh menahannya. Negara kita perlu dilanda Tsunami politik untuk memecahkan benteng-benteng yang dibina oleh kerajaan. Jika rakyat bersatu hati, tanpa mengira agama dan bangsa, segala benteng yang menghalang akan termusnah.
Kuasa rakyat adalah kuasa keramat. Kuasa keramat itu perlu digunakan untuk menyelamatkan negara kita daripada kumpulan kleptokrat yang akan memusnahkannya. Kita tidak mahu negara kita digadai di depan mata.
Marilah kita, rakyat Malaysia, bersama-sama memerangi kleptokrasi dan menyelamatkan Malaysia. Tahun ini kita berpeluang membuat perubahan demi masa hadapan generasi akan datang. Gunakan peluang ini sebaik yang mungkin. Peluang ini adalah peluang terakhir. Jika terlepas, tidak boleh diperbaiki lagi. Kita terpaksa tunduk kepada kuasa zalim untuk selama-lamanya.
*V. Sivakumar adalah Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak dan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Perak di Ipoh.